Ekonomi Malaysia stabil separuh ke-2 tahun ini

Ekonomi Malaysia stabil separuh ke-2 tahun ini

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) – Terdapat peluang yang baik bahawa ekonomi Malaysia akan stabil pada separuh kedua tahun ini apabila wujud kemungkinan harga penanda aras global, minyak mentah Brent, akan meningkat semula, kata Ketua Ekonomi OCBC Bank (M) Bhd Selena Ling.

“Malaysia dijangka mencatat kadar pertumbuhan 4.7 peratus pada 2016 kerana harga minyak boleh meningkat semula antara AS$45 dan AS$50 setong, masing-masing pada suku ketiga dan suku keempat.

“Ini sejajar dengan apa yang ekonomi jangkakan untuk dicapai pada 2015, iaitu kadar pertumbuhan 4.8 peratus,” katanya pada sidang media mengenai prospek ekonomi 2016 di sini Jumaat.

Selain itu, katanya, daya tahan eksport telah menyumbang kepada pertumbuhan yang stabil, dan pembetulan dalam import, telah meningkatkan pengukuhan eksport dan membawa kepada imbangan perdagangan yang agak teguh.

Peratusan eksport elektronik yang tinggi, yang meraih 25 peratus daripada jumlah eksport, membantu menampan kemerosotan dalam eksport komoditi seperti gas asli, katanya.

Terdahulu, dalam pembentangannya, Ling berkata penggunaan swasta perlahan kepada 4.1 peratus pada suku ketiga 2015 berbanding 6.4 peratus pada suku kedua manakala perbelanjaan kerajaan turut susut kepada 3.5 peratus berbanding 6.8 peratus.

Bagaimanapun, akan sentiasa ada risiko seperti kejatuhan harga minyak mentah, mata wang utama dan pasaran sedang pesat membangun yang turun naik, serta kenaikan Rizab Persekutuan (Fed) sekali lagi pada tahun ini, katanya.

“Namun, harga minyak dijangka terus merosot dalam tempoh terdekat ini dan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dilihat melepaskan peranannya sebagai penstabil automatik untuk mengurangkan bekalan apabila terdapat lebihan minyak global yang menyebabkan kebimbangan mengenai pertumbuhan global,” katanya.

Ling berkata faktor-faktor ini akan terus menjadi pemangkin kepada pelabur dan perniagaan di seluruh dunia, termasuk Asia.

Selain kebimbangan mengenai lebihan bekalan, kebimbangan baharu terhadap pertumbuhan global turut menambah kebimbangan bahawa permintaan terhadap minyak akan berkurangan untuk memperkasakan ekonomi, katanya.

ARTIKEL YANG SAMA