Ekonomi meleset, KDNK Jepun jatuh 0.2%

Ekonomi meleset, KDNK Jepun jatuh 0.2%

TOKYO, 16 Nov (AFP) – Ekonomi Jepun meleset untuk kali kedua sejak Perdana Menteri Shinzo Abe menerajui tampuk pentadbiran tiga tahun lalu, data menunjukkan hari ini, memberi tamparan hebat kepada kempennya untuk melancarkan pertumbuhan yang lemah dan menamatkan deflasi bertahun-tahun lamanya.

Abe telah mempertaruh reputasinya dalam kempen dasar perbelanjaan fiskal, pelonggaran dasar mata wang dan pembaharuan struktural agresif yang digelar ‘Abenomics,’ bertujuan memulihkan ekonomi ketiga terbesar dunia.

Ekonomi Jepun, pernah menjadi yang terbesar di Asia, telah dipintas oleh negara jiran China dari segi saiz, sementara ia bergelut dengan prospek demografik mencabar yang dijangka melihat penduduknya berkurangan sebanyak berpuluh juta pada dekad akan datang.

Namun, ia mempunyai beberapa syarikat terbesar di dunia, termasuk dalam sektor kereta dan bank, dan teknologi domestiknya memain satu peranan penting dalam pelbagai industri global, termasuk kenderaan, elektronik dan jentera canggih.

Suasana di dalam sebuah stesen kereta api di Tokyo. Ekonomi Jepun mengalami kemelesetan buat kali kedua sejak Shinzo Abe berkuasa hampir tiga tahun lalu. – AFP
Suasana di dalam sebuah stesen kereta api di Tokyo. Ekonomi Jepun mengalami kemelesetan buat kali kedua sejak Shinzo Abe berkuasa hampir tiga tahun lalu. – AFP

Pejabat Kabinet berkata hari ini Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mengecut sebanyak 0.2 peratus dalam tempoh Julai-September, atau pengecutan tahunan sebanyak 0.8 peratus, menandakan kemerosotan suku kedua berturut-turut, dianggap satu kemelesetan teknikal.

Ia juga lebih rendah daripada ramalan 0.1 peratus dalam satu tinjauan Bloomberg News. Ekonomi mengecut pada 2014 selepas pengguna berjimat cermat selepas satu pertambahan dalam cukai penggunaan negara, yang menjejas pemulihan lembap.

Kemelesetan itu mendorong Bank Jepun menambah program pembelian bon mereka, sekaligus mencetak wang untuk merangsang pinjaman.

Bagaimanapun, kerajaan mempertingkat data April-Jun mereka kepada pengecutan 0.2 peratus daripada kemerosotan 0.3 peratus seperti yang dianggarkan sebelum itu.

ARTIKEL YANG SAMA