Ekonomi M’sia berada di landasan betul

Ekonomi M’sia berada di landasan betul

KOTA KINABALU, 16 Sept (Bernama) – Keadaan ekonomi semasa negara masih berada pada landasan yang betul dan Malaysia tidak akan bankrap, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Beliau berkata spekulasi bahawa Malaysia bakal bankrap ekoran kejatuhan nilai ringgit dan penurunan harga minyak dunia itu tidak benar, sebaliknya ekonomi semasa negara masih berkembang kukuh.

“Kejatuhan itu adalah satu fenomena global yang turut dirasai di beberapa negara lain termasuk Rusia dan Brazil susulan pengukuhan nilai mata wang dolar AS. Negara lain yang bergantung kepada ekonomi berasaskan komoditi pasti akan terjejas.

“Malah, jika kita melihat negara seperti Rusia yang berasaskan minyak, menghadapi keadaan yang lebih teruk berbanding Malaysia. Begitu juga yang berlaku di Brazil, Australia dan New Zealand,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat pada Persidangan Meningkatkan Perpaduan dan Integrasi Negara, di sini hari ini.

Persidangan anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional bersama Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) itu dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Mohd Irwan berkata krisis ekonomi yang dihadapi negara ketika ini bukan sahaja disebabkan kejatuhan ekonomi antarabangsa tetapi juga ‘political noise’ di Malaysia.

“’Political noise’ yang tidak perlu di Malaysia ini yang sepatutnya boleh dikawal dan ini sedikit sebanyak mengganggu ekonomi semasa negara,” katanya.

Menurutnya, dalam usaha menangani cabaran ekonomi negara, kerajaan telah mengambil beberapa langkah proaktif dan berharap dapat diatasi dalam tempoh beberapa bulan ini sekali gus meningkatkan kestabilan ekonomi Malaysia.

“Bajet 2016 akan diumumkan pada 23 Oktober, lebih banyak strategi dan langkah akan diumumkan oleh Perdana Menteri,” katanya.

Sementara itu, Mohd Irwan menyentuh mengenai usaha kerajaan yang turut mengutamakan pembangunan di Sabah termasuk menyediakan peruntukan pembinaan Lebuh raya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah dan Sarawak.

ARTIKEL YANG SAMA