Ekonomi M’sia boleh terus berkembang lebih 4 peratus tahun ini

Ekonomi M’sia boleh terus berkembang lebih 4 peratus tahun ini

KUALA LUMPUR, 10 Julai – Ekonomi Malaysia boleh terus berkembang kepada lebih empat peratus pada tahun ini dan 2017 jika negara tidak menghadapi penurunan dalam permintaan eksport yang berpanjangan dan tidak dijangka, kata penganalisis.

Malaysian Rating Corp Bhd (MARC) mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2016 pada 4.4 peratus dan momentum untuk memacu antara 4.5 peratus dan lima peratus pada 2017.

Sementara itu, Bank Dunia menjangka ekonomi negara berkembang sebanyak 4.4 peratus pada 2016 dan 4.5 peratus pada 2017.

Naib Presiden Pembangunan Korporat dan Penyelidikan Pasaran ForexTime, Jameel Ahmad berkata asas ekonomi Malaysia masih kukuh seperti dicerminkan dalam pertumbuhan KDNK dan aliran masuk pelaburan langsung asing.

Beliau berkata 2016 dijangka menyaksikan ekonomi yang tidak menentu yang akan membawa kepada turun naik yang tinggi dan pelabur kemudiannya akan menumpukan kepada pilihan raya presiden Amerika Syarikat.

“Membawa perkara itu kembali ke Malaysia, ramai yang tertarik dengan bagaimana ekonomi dapat menangani risiko luaran, termasuk kadar faedah AS yang tinggi, harga komoditi yang rendah secara berpanjangan, termasuk minyak dan kelembapan ekonomi China,” kata Jameel kepada Bernama.

Bagaimanapun, antara risiko utama kepada Malaysia yang tidak dinilai adalah pungutan suara Britain untuk keluar daripada Kesatuan Eropah (EU) (Brexit), katanya.

Beliau berkata Brexit dijangka memberi kesan kepada negara.

Pungutan suara untuk keluar daripada EU telah menolak andaian pasaran bahawa United Kingdom akan kekal dalam blok ekonomi itu yang disertainya sejak 1973.

“Terdapat banyak yang tidak pasti mengenai apa seterusnya, yang bermakna kemungkinan pengelakan risiko dalam pasaran. Malaysia ternyata sebuah pasaran sedang pesat membangun, bermakna kemungkinan terdapat risiko yang tidak dijangka,” kata Jameel.

Pasaran global adalah sensitif dan kejayaan Brexit yang tidak dijangka telah mewujudkan landskap kewangan yang tidak stabil, yang mungkin menyebabkan hala tuju bank-bank pusat tidak dapat dijangka, katanya.

Jameel berkata potensi bagi bank-bank pusat pasaran maju untuk bertindak, seperti Rizab Persekutuan AS (Fed), memperlahankan kadarnya untuk kenaikan kadar, juga dapat memainkan peranan penting dalam meredakan pasaran.

“Ia terlalu awal untuk memberitahu kedua-duanya dan saya fikir setiap pelabur di luar sana sedang menantikan keputusan pungutan suara EU yang mengejutkan itu untuk stabil, dan bagi Fed untuk menandakan makna kepada hasratnya (menaikkan kadar faedah),” kata Jameel.

Ketua Ekonomi MARC, Nor Zahidi Alias, berkata kelemahan semasa dalam ekonomi terbesar dunia, AS, merupakan fenomena sementara dan tidak akan membawa kepada kemelesetan.

“Selain kadar penyertaan tenaga buruh merosot, aspek lain daripada pasaran buruh adalah baik, seperti kenaikan gaji dan senarai gaji bukan ladang (NFP). Kadar inflasi teras juga kira-kira dua peratus dalam tempoh enam bulan hingga Mei 2016,” katanya kepada Bernama.

Ahli Ekonomi UOB Bank, Julia Goh, berkata negara-negara berkaitan perdagangan seperti Malaysia, Singapura dan Vietnam, lebih terdedah kepada kemungkinan pertumbuhan ekonomi global perlahan disebabkan keputusan Brexit, manakala China, India dan Indonesia perlu lebih berdaya tahan.

Beliau berkata ketidaktentuan kewangan akan memberi kesan kepada mata wang tetapi ia dijangka mendapat sedikit kelegaan daripada kelewatan kenaikan kadar Fed.

“Kami fikir berdasarkan peningkatan risiko jangka masa terdekat, kemungkinan bagi Bank Negara Malaysia untuk melonggarkan dasar monetari telah meningkat,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA