Ekonomi M’sia catat RM1,157.1 bilion pada 2015

Ekonomi M’sia catat RM1,157.1 bilion pada 2015

KUALA LUMPUR, 29 Julai – Ekonomi Malaysia pada harga semasa mencatatkan nilai sebanyak RM1,157.1 bilion pada 2015 berbanding RM1,106.5 bilion pada 2014.

Lebihan Kendalian Kasar (LKK) merupakan penyumbang terbesar dalam komponen pendapatan iaitu sebanyak 60.5 peratus manakala Pampasan Pekerja menyumbang 34.8 peratus kepada ekonomi Malaysia, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia dalam satu kenyataan, hari ini.

“Baki 4.7 peratus disumbangkan oleh Cukai Tolak Subsidi ke atas Pengeluaran dan Import,” kata kenyataan itu. Ekonomi secara keseluruhan pula merekodkan pertumbuhan sebanyak 4.6 peratus pada 2015, disokong oleh prestasi positif dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan.

Pampasan Pekerja mencatatkan pertumbuhan 6.2 peratus berbanding 9.7 peratus pada tahun sebelumnya manakala LKK pula tumbuh lebih perlahan kepada 0.9 peratus berbanding 6.4 peratus pada 2014.

Sebaliknya, kata jabatan itu, Cukai Tolak Subsidi ke atas Pengeluaran dan Import melonjak kepada 62.4 peratus berikutan pelaksanaan rasionalisasi subsidi dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

“Sebagai penggerak utama ekonomi, sektor perkhidmatan merupakan penyumbang terbesar kepada jumlah Pampasan Pekerja sebanyak 60.6 peratus manakala sumbangan sektor pembuatan sebanyak 23.1 peratus pada 2015,” kata jabatan itu.

Pampasan pekerja turut mencatatkan pertumbuhan sebanyak 6.2 peratus, didorong terutamanya oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan.

Sektor pembinaan mengekalkan prestasi kukuhnya pada 2015 dengan mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 11.5 peratus berbanding 14.8 peratus pada tahun sebelumnya.

Bagi 2015, LKK diterajui oleh perkhidmatan dengan sumbangan sebanyak 51.3 peratus diikuti oleh pembuatan sebanyak 22.5 peratus. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA