Ekonomi M’sia dijangka lebih baik pada separuh kedua 2016

Ekonomi M’sia dijangka lebih baik pada separuh kedua 2016

KUALA LUMPUR, 25 Julai – Ekonomi Malaysia dijangka lebih baik semasa separuh kedua tahun ini dipacu peningkatan sentimen ke arah persekitaran ekonomi keseluruhan, demikian menurut Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI).

Ketua Pegawai Eksekutif ASLI, Tan Sri Dr Micheal Yeoh, berkata penurunan kadar dasar semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) akan meningkatkan keyakinan perniagaan dan menggalakkan pertumbuhan pinjaman lebih pantas.

BNM menurunkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada tiga peratus pada 13 Julai 2016. Yeoh berkata ekonomi diunjur berkembang antara 4.2 peratus dan 4.5 peratus tahun ini.

“Separuh pertama tahun ini mungkin dipengaruhi ketidaktentuan ekonomi global, kemudian ditambah dengan pungutan suara Britain keluar daripada Kesatuan Eropah – Brexit.

“Banyak perniagaan optimis dengan separuh kedua tahun ini,” katanya kepada pemberita ketika sidang media mengenai Forum Kepimpinan ASEAN kali ke-13 di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Korporat Axiata Group Bhd, Mohd Idham Nawawi.

Mengenai sama ada kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) perlu dikurangkan atau sebaliknya, Yeoh berkata, kadar semasa enam peratus sewajarnya dikekalkan buat masa sekarang memandangkan semakan semula akan memburukkan lagi ketidaktentuan pasaran.

“Saya berpendapat kadar itu adalah munasabah berbanding negara jiran kita. Perniagaan telah mengambil kira GST dalam proses perancangan perniagaan mereka. Para pengguna pula telah menerima GST,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA