Ekonomi negara turun 2.6 peratus

Ekonomi negara turun 2.6 peratus

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Dis – Ekonomi negara menurun sebanyak 2.6 peratus tahun ke tahun, pada suku pertama tahun ini, disebabkan penurunan pada kedua-dua sektor minyak dan gas serta sektor bukan minyak dan gas.

Kadar inflasi dijangka kekal rendah memandangkan harga makanan dan komoditi global yang rendah serta pengukuhan Dolar Brunei secara sederhana.

Sehubungan itu, Jawatankuasa Dasar Monetari Autoriti, Monetari Brunei Darusslam (AMBD) akan sentiasa memantau keadaan ekonomi semasa dan akan menilai keperluan untuk melonggarkan kredit, jika perlu, di samping memelihara kestabilan sistem kewangan.

Menurut Kenyataan Dasar AMBD 2/2015 yang dikeluarkan hari ini, secara keseluruhan, ekonomi global adalah lebih lemah pada 2015. China dan ekonomi-ekonomi sedang berkembang mengalami pertumbuhan yang masih lembab manakala pertumbuhan negara-negara maju terus meningkat dengan sederhana.

Harga komoditi yang rendah telah menyokong pertumbuhan perbelanjaan pengguna, namun pada masa yang sama ianya menurunkan permintaan dan prospek pertumbuhan bagi pengeksport komoditi.

Mengenai perkembangan ekonomi Negara Brunei Darussalam AMBD berkata, kedua-dua sektor minyak dan gas; dan sektor bukan minyak dan gas mengalami penurunan iaitu masing-masing sebanyak 3.4% dan 1.5% tahun-ke-tahun.

Sektor perkhidmatan menurun 2.5% tahun-ke-tahun disebabkan oleh kelemahan dalam perkhidmatan pengangkutan; perhubungan; perkhidmatan kesihatan; perkhidmatan pendidikan; perkhidmatan perniagaan; dan perkhidmatan kerajaan. Bagaimanapun, beberapa industri terus berdaya tahan termasuk pembinaan; hartanah; perdagangan borong dan runcit; dan kewangan.

Menyentuh mengenai perkembangan kewangan di negara ini, AMBD berkata, ia telah mengeluarkan penggubalan ke atas lima Notis Peraturan kepada institusi-institusi kewangan yang berkenaan pada 28 Oktober 2015, yang telah berkuat kuasa secara serta merta.

Antaranya ialah Notis ke atas Nisbah Pembayaran Jumlah Hutang (TDSR) Pindaan yang membenarkan bank-bank untuk memasukkan pendapatan sewa dan juga pendapatan perniagaan sole proprietorship di dalam definisi pendapatan kasar bulanan; dan bagi mengecualikan kad kredit yang bercagar dengan simpanan tetap daripada perkiraan TDSR.

Yang lainnya ialah Notis Kemudahan Pinjaman Tidak Dijamin, Pindaan 1 turut membenarkan fleksibiliti kepada pelanggan yang mempunyai tempoh pembiayaan yang berlainan, untuk menambah atau menstruktur pembiayaan setelah 50% tempoh pembiayaan telah selesai.

Menurut AMBD lagi, pada suku ketiga 2015, jumlah aset dan deposit dalam sistem perbankan telah menurun sedikit. Walau bagaimanapun, sektor perbankan di negara ini kekal kukuh dengan Nisbah Kecukupan Modal Ditetapkan (Regulatory Capital Adequacy Ratio) yang tinggi.

AMBD juga telah memperkenalkan peruntukan yang memberikan kuasa kepada pihak Autoriti untuk mengkompaun kesalahan di bawah Perintah Insurans, 2006 dan Perintah Takaful, 2008.

Mengenai perkembangan masa depan, AMBD dengan kerjasama industri insurans/Takaful sedang melaksanakan rangka kerja untuk meningkatkan pengendalian pasaran melalui penggubalan garis panduan bagi perniagaan insurans /Takaful am serta pendaftaran bagi ejen-ejen insurans nyawa dan takaful keluarga.

Selain daripada itu, AMBD juga menyatakan bahawa fasa kedua pemodenan sistem pembayaran dan penyelesaian Negara Brunei Darussalam iaitu Automated Clearing House (ACH) sedang dilaksanakan di mana sistem tersebut dijangka akan dilancarkan pada suku pertama 2016.

Kenyataan Dasar AMBD 2/2015 yang lengkap boleh didapati di laman web AMBD (www.ambd.gov.bn)

ARTIKEL YANG SAMA