Ekonomi Singapura berkembang 1.1 peratus pada suku ketiga

Ekonomi Singapura berkembang 1.1 peratus pada suku ketiga

SINGAPURA, 24 Nov – Ekonomi Singapura berkembang 1.1 peratus pada asas tahun ke tahun pada suku ketiga, lebih rendah berbanding 2.0 peratus pada suku sebelumnya, kata Kementerian Perdagangan dan Industri hari ni.

Dalam satu kenyataan, ia berkata, ekonomi dijangka tumbuh 1.0 hingga 1.5 peratus tahun ini dan 1.0 hingga 3.0 peratus pada 2017.

Pada asas tahunan suku ke suku pada pelarasan bermusim, ekonomi menguncup 2.0 peratus, berbanding pertumbuhan 0.1 peratus pada suku kedua.

Mengenai prestasi ekonomi 2016, kementerian itu berkata, keadaan ekonomi global kekal lembap dengan pertumbuhan setahun penuh untuk 2016 dijangka lebih rendah daripada 2015.

Seiring dengan persekitaran luaran yang lembap, ekonomi Singapura berkembang pada tahap lebih rendah 1.7 peratus pada tiga suku pertama 2016, berbanding 2.1 peratus dalam tempoh yang sama setahun lalu.

Pertumbuhan menerima tekanan terutama daripada prestasi lemah daripada sektor perkhidmatan perniagaan dan dagangan borong dan runcit.

Kementerian itu berkata, sehingga akhir tahun, pertumbuhan KDNK Singapura dijangka kekal sederhana, manakala untuk 2017, pertumbuhan global diunjur meningkat sedikit. Oleh itu ekonomi Singapura juga dijangka tumbuh pada tahap sederhana. – Bernama