Ekonomi Singapura tumbuh 2.1 % pada 2015

Ekonomi Singapura tumbuh 2.1 % pada 2015

SINGAPURA, 4 Jan (AFP) – Ekonomi Singapura yang bergantung pada perdagangan tumbuh kira-kira 2.1 peratus pada 2015, prestasi paling teruknya sejak kemelesetan pada 2009, tatkala permintaan global untuk eksport Asia merosot, demikian menurut data yang dikeluarkan hari ini.

Angka perkembangan keluaran dalam negara kasar, merosot daripada 2.9 peratus pada 2004, adalah berdasarkan anggaran awal bahawa KDNK pada suku keempat tahun lalu meningkat 2.0 peratus tahun-ketahun.

Anggaran pertumbuhan 2015 adalah selaras dengan ramalan terbaru kerajaan untuk pertumbuhan KDNK sebanyak ‘hampir 2.0 peratus.’

KDNK Singapura mengecut sebanyak 0.6 peratus pada 2009 ketika krisis kewangan global, tetapi berpulih pada tahun berikutnya dengan pertumbuhan luar biasa sebanyak 15.2 peratus.

Kementerian perdagangan meramalkan pertumbuhan KDNK di antara 1.0 dan 3.0 peratus pada 2016.

Orang ramai melintasi bangunan pencakar langit di pusat perniagaan Singapura. – Reuters
Orang ramai melintasi bangunan pencakar langit di pusat perniagaan Singapura. – Reuters

Sektor pengeluaran Singapura, yang membentuk kira-kira satu perlima daripada ekonomi, mengecut 6.0 peratus pada suku Disember 2015, menandakan kemerosotan suku keempat berturut-turut.

Pada 2015, pengeluaran mengecut 4.8 peratus, kata kementerian, disebabkan permintaan yang lemah untuk eksport utama seperti semikonduktor dan produk kejuruteraan kepersisan.

Permintaan untuk rig mencari gali minyak juga telah terjejas tatkala aktiviti mencari gali merosot disebabkan kemelesetan berlarutan dalam harga minyak mentah.

Singapura adalah pengeluar terbesar rig jack-up, menyumbang kepada 70 peratus daripada pasaran dunia.

Pembinaan dan perkhidmatan melindungi kesan sektor pengeluaran yang lemah pada 2015.

Pembinaan berkembang sebanyak 7.0 peratus dan perkhidmatan melonjak 6.5 peratus tahun-ke-tahun pada suku keempat tetapi pengeluaran masih lembap.

‘Sektor pengeluaran Singapura masih dibelenggu dalam kemelesetan, mencerminkan pertumbuhan China yang sederhana, kemelesetan serantau yang lebih luas dalam eksport Asia Timur dan kesan penyebaran kepada rangkaian bekalan industri,’ kata Rajiv Biswas, ketua ahli ekonomi Asia Pasifik di IHS Global Insight.

ARTIKEL YANG SAMA