Ekonomi S’pura tumbuh 1.8 peratus

Ekonomi S’pura tumbuh 1.8 peratus

SINGAPURA, 25 Mei – Ekonomi Singapura berkembang 1.8 peratus tahun ke tahun dalam suku pertama, tidak berubah daripada suku sebelumnya, kata Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI), hari ini.

Ia juga mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2016 antara 1.0 dan 3.0 peratus.

Sektor pembuatan susut sebanyak 1.0 peratus, tahun ke tahun, susulan penurunan 6.7 peratus dalam suku sebelumnya

Pertumbuhan diseret turun terutamanya oleh kluster kejuruteraan pengangkutan dan kejuruteraan ketepatan.

Kedua-dua kluster itu turun disebabkan oleh prestasi lemah syarikat-syarikat dalam segmen marin dan luar pantai yang menghasilkan peralatan bagi industri minyak dan gas, kata MTI dalam satu kenyataan.

Suasana pelabuhan Tanjong Pagar Singapura dalam gambar fail 17 Februari 2016. Ekonomi Singapura berkembang 1.8 peratus dalam suku pertama dan tidak berubah daripada suku sebelumnya. – AFP
Suasana pelabuhan Tanjong Pagar Singapura dalam gambar fail 17 Februari 2016. Ekonomi Singapura berkembang 1.8 peratus dalam suku pertama dan tidak berubah daripada suku sebelumnya. – AFP

Pertumbuhan dalam sektor pembinaan meningkat 6.2 peratus, tahun ke tahun, daripada 4.9 peratus dalam suku sebelumnya, disokong oleh pembinaan sektor awam dan kerja-kerja pembinaan perindustrian swasta.

Sektor perdagangan borong dan runcit berkembang 1.8 peratus, tahun ke tahun, sektor pengangkutan dan penyimpanan menguncup pada kadar perlahan 0.4 peratus, sektor penginapan dan perkhdimatan makanan naik 1.5 peratus dan sektor maklumat dan komunikasi meningkat 3.2 peratus.

Sementara itu, sektor kewangan dan insurans berkembang 2.4 peratus, tahun ke tahun, tidak berubah daripada suku sebelumnya.

Prestasi sektor tersebut terjejas oleh segmen pengantaraan kewangan, walaupun segmen sensitif sentimen itu dan sektor insurans mencatatkan pertumbuhan pesat, kata MTI.

Pertumbuhan sektor perkhidmatan kewangan sederhana kepada 0.3 peratus tahun ke tahun, daripada 0.8 peratus dalam suku sebelumnya.

Mengenai prospek ekonomi bagi tahun ini, MTI berkata prospek ekonomi global lemah sejak awal 2016, dengan pertumbuhan global bagi tahun ini dijangka hampir sama dengan 2015.

Terutamanya, prospek pertumbuhan bagi ekonomi-ekonomi maju telah menguncup sedikit, kata kementerian itu.

Dalam negara, keadaan kelembapan ekonomi global, serta penurunan berterusan perdagangan global boleh menjejaskan sektor berorientasikan luaran seperti pembuatan dan pengangkutan dan penyimpanan. Harga minyak yang terus jatuh juga akan memberi kesan kepada prospek bagi syarikat-syarikat dalam segmen marin dan luar pantai dan dalam kluster kejuruteraan ketepatan yang menyokong industri minyak dan gas.

Walaupun sektor seperti kewangan dan insurans dan perdagangan borong diunjur mencatatkan pertumbuhan sederhana berbanding 2015, ia masih dijangka memberi sokongan kepada keseluruhan pertumbuhan KDNK tahun ini.

Selain itu, kata MTI, sektor berkaitan pelancongan mungkin mendapat rangsangan daripada peningkatan semula kedatangan pengunjung manakala kluster pembuatan bioperubatan dijangka mencatatkan peningkatan pengeluaran susulan pengenalan ramuan farmaseutikal aktif baharu. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA