Ekonomi Thailand naik 2.9% pada suku ketiga

Ekonomi Thailand naik 2.9% pada suku ketiga

BANGKOK, 17 Nov (Bernama) – Ekonomi Thailand meningkat sebanyak 2.9 peratus pada suku ketiga 2015 berbanding pertumbuhan sebanyak 2.8 peratus pada suku sebelumnya.

Setiausaha Agung Lembaga Pembangunan Ekonomi dan Sosial Nasional (NESDB), Porametee Vimolsiri, berkata selepas pelarasan bermusim, ekonomi naik sebanyak satu peratus berbanding pada suku kedua.

“Pada sembilan bulan pertama 2015, ia naik sebanyak 2.9 peratus,” katanya pada taklimat media di sini, hari ini. NESDB mengunjurkan ekonomi Thailand pada 2015 akan berkembang sebanyak 2.9 peratus berbanding pertumbuhan sebanyak 0.9 peratus pada 2014.

Katanya, eksport dan pengeluaran pertanian bagi keseluruhan tahun dijangka merosot lebih daripada dijangkakan.

“Kesan negatif daripada penurunan eksport dan pengeluaran pertanian akan diimbangi dengan jumlah kemasukan pelancong ke negara ini yang lebih tinggi daripada dijangkakan, yang dijangka melebihi 30 juta; dan pakej rangsangan ekonomi kerajaan,” katanya.

Ia mengunjurkan nilai eksport bagi 2015 akan merosot sebanyak lima peratus manakala penggunaan swasta dan jumlah pelaburan, masing-masing akan meningkat sebanyak dua dan 4.6 peratus.

Katanya, ekonomi Thailand pada 2016 dijangka berkembang sebanyak tiga hingga empat peratus.

“Ini disokong oleh kerancakan perbelanjaan dan pelaburan kerajaan; sumbangan positif daripada pakej rangsangan ekonomi; pemulihan secara berperingkat ekonomi global dan harga eksport; dan, penyusutan nilai baht Thai yang akan membantu meningkatkan nilai eksport dari segi baht, dan meningkatkan pendapatan dan mudah tunai untuk pengeksport,” katanya.