Ekosistem pembiayaan PKS perlu komprehensif – BNM

Ekosistem pembiayaan PKS perlu komprehensif – BNM

KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Bank Negara Malaysia (BNM) mempunyai peranan bagi memastikan ekosistem pembiayaan adalah komprehensif bagi memenuhi pelbagai keperluan pembiayaan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Pengarah, Jabatan Kewangan Pembangunan dan Enterpris, Marina Kahar berkata, sehingga akhir 2015, pembiayaan kepada PKS oleh institusi kewangan telah mencatat pertumbuhan 14.6 peratus manakala pembiayaan berjumlah RM274.5 bilion telah disalurkan kepada hampir 730,000 akaun PKS berbanding 13.3 peratus pada 2014.

“Insitusi kewangan sentiasa memberi sokongan padu kepada pembangunan sektor PKS dan ini dapat dilihat daripada kadar kelulusan pembiayaan yang kekal tinggi sekitar 80 peratus,” kata Marina pada Majlis Perasmian Program Membina Kapasiti dan Daya Saing PKS oleh Maybank, hari ini.

Menurut beliau, BNM telah melaksanakan pelbagai inisiatif dalam membantu usahawan mendapatkan akses kepada pembiayaan, antaranya Tabung Khas PKS.

“Dengan Tabung Khas PKS yang ditubuhkan oleh BNM, usahawan boleh menikmati pembiayaan modal kerja dan peningkatan kapasiti pengeluaran perniagaan pada kadar yang kompetitif sekitar 3.75 peratus hingga enam peratus,” katanya.

BNM akan memastikan ekosistem pembiayaan adalah komprehensif bagi memenuhi pelbagai keperluan pembiayaan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS). – Bernama
BNM akan memastikan ekosistem pembiayaan adalah komprehensif bagi memenuhi pelbagai keperluan pembiayaan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS). – Bernama

Marina berkata, Skim Pembiayaan Mikro yang diperkenalkan pada 2006 turut menyediakan pembiayaan perniagaan sehingga RM50,000 dengan mudah, cepat dan enang serta tanpa cagaran.

Di samping itu, Marina berkata, terdapat juga skim jaminan kredit yang dikendalikan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd bagi membantu PKS yang tidak mempunyai cagaran dan rekod kredit yang mencukupi untuk mendapat pembiayaan daripada institusi kewangan.

Program PARTNER oleh Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia turut membantu PKS melalui penyediaan senarai semak serta borang permohonan yang standard dan selaras bagi maklumat/dokumen yang diperlukan oleh institusi kewangan untuk memudahkan proses permohonan pembiayaan.

“Salah satu inisiatif terbaharu oleh BNM ialah ‘Train-the-Trainers’ mengenai Pembiayaan PKS,” tambah beliau. Marina berkata, inisiatif ini bertujuan meningkatkan keupayaan PKS terutama dalam bidang pengurusan kewangan, strategi perniagaan dan pengurusan operasi. – Bernama