Eksesais ADDM-Plus MS & CT dilancar

Eksesais ADDM-Plus MS & CT dilancar

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Mei – Eksesais Sekuriti Maritim dan Pencegahan Pengganasan Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN-Plus (ADDM-Plus MS & CT) telah dilancarkan hari ini di Pusat Koordinasi Berbilang Negara (MNCC), Muara, di sini.

Pelancarannya telah disempurnakan oleh Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah dengan mengaktifkan butang yang memaparkan montaj video mengenai sejarah ringkas ADMM Plus MS & CT, kedatangan anggota tentera dan persediaan tentera-tentera sebelum latihan bermula.

Selepas pelancaran yang disaksikan oleh pegawai-pegawai kanan dan kakitangan dari semua negara yang mengambil bahagian, Yang Dimuliakan Pehin turut melihat lebih dekat Pusat Kawalan Koordinasi sambil beramah mesra bersama anggota dari pelbagai negara.

Eksesais pelbagai hala yang akan berlangsung dari 1 hingga 12 Mei ini melibatkan angkatan tentera laut dari 18 buah negara iaitu 10 buah negara anggota ASEAN dan negara-negara rakan Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Rusia, Korea Selatan dan Amerika Syarikat.

Dengan melibatkan kapal dan aset-aset tentera laut dari negara-negara berkenaan, ia bertujuan untuk meningkatkan kerjasama dalam keselamatan maritim berbilang hala.

Yang Dimuliakan Pehin Mejar Jeneral Mohd Tawih bersama pihak yang berkepentingan dan anggota-anggota tentera yang menyertai latihan ADMM-Plus MS & CT di Pusat Koordinasi Berbilang Negara (MNCC) Muara.
Yang Dimuliakan Pehin Mejar Jeneral Mohd Tawih bersama pihak yang berkepentingan dan anggota-anggota tentera yang menyertai latihan ADMM-Plus MS & CT di Pusat Koordinasi Berbilang Negara (MNCC) Muara.

Selain meningkatkan kerjasama, ia memperkembangkan keberkesanan pertahanan dan bersedia mengambil langkah-langkah untuk menangani ancaman keganasan terhadap keselamatan dan keamanan maritim yang dihasratkan dilaksanakan melalui perkongsian maklumat daripada semua negara yang terlibat.

Eksesais ADMM-Plus MS & CT yang dipengerusikan bersama oleh ABDB dan Angkatan Bersenjata Republik Singapura ini akan merangkumi segmen latihan keselamatan maritim di perairan Brunei mulai 2 hingga 5 Mei.

Kemudiannya pada 5 hingga 8 Mei, kapal-kapal akan bertolak dari perairan Brunei menuju ke Republik Singapura, dan sepanjang pelayaran itu Segmen Latihan Keselamatan Maritim akan dilaksanakan.

Pada 8 Mei, Segmen Latihan Mencegah Keganasan pula akan berlangsung apabila kapal-kapal tiba di Republik Singapura. Eksesais ini akan berakhir di Republik Singapura dan ditutup secara rasmi pada 10 Mei, manakala itu, kapal-kapal perang ini akan mula belayar balik pada 11 dan 12 Mei.

ARTIKEL YANG SAMA