Eksesais kepimpinan bersama

Eksesais kepimpinan bersama

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Sept – Sekolah Pegawai Kadet, Akademi Pertahanan, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) mengalu-alukan kontinjen seramai 64 orang anggota dari Sekolah Pegawai Kadet New Zealand (NZ) ke Negara Brunei Darussalam, di mana ketibaan kontinjen itu juga menandakan bermulanya Eksesais Kepimpinan 2015 di antara kedua-dua negara yang berlangsung di Kem Meriam, Temburong.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan, di sini, hari ini, eksesais menandakan latihan ketenteraan dua hala di antara Sekolah Pegawai Kadet, Akademi Pertahanan, ABDB dan Sekolah Pegawai Kadet NZ yang mana eksesais itu melibatkan seramai 143 orang anggota dari kedua-dua buah negara dengan pemain utama 13 orang pegawai kadet dari Brunei dan 40 orang pegawai kadet dari NZ.

Eksesais Kepimpinan 2015 telah dikendalikan dari 7 hingga 27 Ogos di mana dengan suasana hutan yang menguji kebolehan pegawai-pegawai kadet dari kedua buah negara, program latihan secara progresif telah diperkenalkan.

Kenyataan menjelaskan bahawa dengan menggunakan prinsip merangkak, berjalan dan berlari, operasi hutan itu digunakan sebagai cara untuk merangsang bakat kepimpinan dan menguji kebolehan kadet-kadet untuk mengasimilasikan ilmu pengetahuan dan arahan dalam keadaan yang mencabar.

Menurut kenyataan itu, Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah juga telah mengadakan lawatan ke Kem Meriam untuk menyaksikan kadet-kadet memberikan arahan.

Gambar ramai bersama anggota-anggota Sekolah Pegawai Kadet dari kedua-dua buah negara.
Gambar ramai bersama anggota-anggota Sekolah Pegawai Kadet dari kedua-dua buah negara.

Pemerintah ABDB, dipetik menasihati para kadet mengenai pentingnya untuk kembali ke ilmu asas mereka yang mana peranan dan tanggungjawab mereka apabila menjadi pegawai adalah untuk memastikan bahawa anggota mereka melakukan perkara yang tepat dan semasa eksesais itu adalah masanya untuk mereka berlatih.

Yang Dimuliakan Pehin juga dipetik berkata bahawa di dalam lumpur, tanah dan air di dalam hutan, mereka semuanya kelihatan serupa, oleh itu, tidak ada yang lebih baik daripada yang lain, sambil menambah, setiap orang perlu berfikir sebelum bercakap, belajar di antara satu sama yang lain serta berkongsi pengalaman mereka.

Turut hadir semasa lawatan itu ialah Komandan Akademi Pertahanan ABDB dan Komandan Sekolah Tentera NZ.

Lawatan pemerintah ABDB, pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) dan pegawai-pegawai tinggi dari Sekolah Pegawai Kadet NZ menunjukkan sokongan dan komitmen yang kuat dalam memastikan kejayaan eksesais hutan bersama yang pertama itu.

Sumbangan dan bantuan berterusan daripada TDDB, Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) dan Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) turut menyumbang kepada kejayaan eksesais berkenaan dan meningkatkan lagi keyakinan dan keupayaan, Sekolah Pegawai Kadet, Akademi Pertahanan ABDB dalam melaksanakan eksesais yang serupa di masa akan datang.

Eksesais itu turut menandakan mercu tanda yang penting dalam hubungan di antara Sekolah Pegawai Kadet, Akademi Pertahanan, ABDB dan Sekolah Pegawai Kadet NZ serta berharap ia akan menjadi permulaan kepada lebih banyak peluang kerjasama dengan negara-negara rakan yang lain.

ARTIKEL YANG SAMA