Eksesais Keris Aman Capstone berakhir

Eksesais Keris Aman Capstone berakhir

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Ogos – Eksesais Operasi Pengamanan (PKO) yang diberikan nama Keris Aman Capstone 2015 yang dihoskan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan kerjasama Pusat Kawalan Pasifik Amerika Syarikat (USPACOM) bagi Program Inisiatif Operasi Damai Global (GPOI) berakhir dalam majlis penutup eksesais yang berlangsung di Auditorium Sebatang Karah, Kem Segenting, Port Dickson, Malaysia, kelmarin.

Majlis penutup itu disempurnakan oleh Ketua Pasukan Pertahanan, ABDM, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri (Dr) Zulkifeli bin Mohd Zin yang turut menyempurnakan penyampaian sijil tamat eksesais kepada negara-negara yang menyertai eksesais berkenaan.

Eksesais yang bermula 11 Ogos itu, merupakan latihan tahunan PKO pelbagai negara yang bermatlamat untuk membangunkan dan mengekalkan keupayaan, kapasiti serta keberkesanan PKO, demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan di sini, hari ini.

Latihan yang diadakan itu melibatkan seramai 1,026 anggota tentera dan kakitangan awam dari 29 buah negara yang menyertai latihan termasuk Negara Brunei Darussalam.

Menurut kenyataan itu lagi, latihan itu dikendalikan dalam dua acara utama iaitu Acara Latihan Staf (STE) dan Acara Latihan Padang (FTE) di mana STE menumpukan kepada meningkatkan kesiapsiagaan dan koordinasi pelbagai negara dalam Ibu Pejabat Pasukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan dalam suasana peringkat operasi.

Majlis Penutup Eksesais Keris Aman Capstone 2015 yang diadakan di Akademi Tentera Darat, Malaysia. – Bernama
Majlis Penutup Eksesais Keris Aman Capstone 2015 yang diadakan di Akademi Tentera Darat, Malaysia. – Bernama

pg05_150826_d

Sementara itu, FTE pula meningkatkan lagi kapasiti sesebuah negara dengan melatih, merancang, melengkapkan, mengurus dan melaksanakan PKO di peringkat taktikal serta menyediakan platform bagi para peserta untuk bertukar-tukar taktik organisasi, teknik dan prosedur bagi mengukuhkan dan memperbaiki PKO taktikal.

Di samping itu, ia juga bertindak sebagai latihan pra-keperluan untuk anggota yang telah dikenal pasti bagi dihantar ke misi-misi PKO PBB.

Eksesais PKO pelbagai negara yang disertai oleh Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) pada tahun ini merupakan penyertaan kali ketiga setelah penyertaan pertama negara pada 2008 di Republik Rakyat Bangladesh, Exercise Shanti Doot-2 dan penyertaan kedua ABDB di Republik Indonesia pada 2009, Exercise Garuda Shield 09, menurut kenyataan itu.

Negara Brunei Darussalam telah mengambil peranan dan penyertaan aktif dalam PKO PBB sejak 1992 bagi Pihak Berkuasa Peralihan PBB (UNTAC) di Kemboja dan terus komited kepada PKO PBB khususnya bagi misi UNIFIL sejak 2008 dan turut mengambil bahagian dalam Pasukan Pemantauan Antarabangsa (IMT) di Mindanao, Republik Filipina.

Penyertaan ABDB dalam latihan itu adalah bertepatan dengan usahanya untuk terus fleksibel dalam pelbagai tugasan sekuriti dan mampu beroperasi dengan rakan-rakan sekuriti serantau dan antarabangsa seperti yang ditetapkan dalam Kertas Putih Pertahanan Brunei Kemas kini 2007.

ARTIKEL YANG SAMA