Eksesais Paradise Siri 3 capai objektif

Eksesais Paradise Siri 3 capai objektif

LABUAN, 30 Nov – Eksesais PARADISE 3/16 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan Udara Labuan berjaya mencapai objektif latihan yang ditetapkan.

Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Roslan Saad berkata eksesais yang berlangsung selama 10 hari itu dilaksanakan secara latihan medan di peringkat taktikal dan dijalankan secara langsung bersama Eksesais Gerak Pantas 23/16 anjuran Tentera Darat Malaysia (TDM).

Beliau berkata misi utama Eksesais PARADISE adalah untuk melakukan latihan pelaksanaan Operasi Udara di Wilayah 2 (Sabah dan Sarawak) melibatkan 235 anggota.

“Meskipun ada kekangan kewangan, eksesais seperti ini tidak akan dihentikan dan tiada kompromi, ia akan diteruskan. Kita akan perbaiki kelemahan untuk pastikan eksesais ini bertambah baik,” katanya kepada pemberita selepas upacara penutup eksesais itu di sini Rabu.

Objektif yang ditetapkan dalam eksesais itu antaranya meningkatkan tahap saling kendali dalam menjalankan Large Force Employment (LFE), menilai kesediaan pertempuran, kemahiran dan kecekapan TUDM serta menyokong Eksesais Gerak Pantas 23/16.

Aset TUDM yang terlibat dalam menjayakan eksesais itu ialah pesawat pejuang F/A-18D, pesawat pejuang SU-30MKM, pesawat pejuang Hawks, pesawat pengangkut C130H, pesawat KC130, pesawat pengangkut CN235, pesawat helikopter S61A dan pesawat helikopter EC725.

Elemen lain yang turut menjayakan perlaksanaan eksesais itu adalah pasukan khas udara (PASKAU), 10 Briged Para dan Sqn 401 GBAD. – Bernama