Eksesais Perisai Kebangsaan bermula 5 Okt

Eksesais Perisai Kebangsaan bermula 5 Okt

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Sept – Negara Brunei Darussalam akan mengadakan eksesais kebangsaan yang diberi nama Eksesais Perisai Kebangsaan (EPK) 04/2015 pada 5 hingga 7 Oktober 2015.

Eksesais tersebut yang dikendalikan oleh agensi-agensi keselamatan Negara Brunei Darussalam dan diterajui oleh Jabatan Perdana Menteri itu bertujuan untuk melatih dan meningkatkan keupayaan agensi-agensi yang berkenaan secara keseluruhannya dalam menghadapi dan menangani krisis keselamatan serta cabarannya.

Ia akan memberikan peluang pendedahan latihan kepada komiti-komiti dan agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan di dalam menangani keadaan kecemasan di samping mengukuhkan koordinasi dan kerjasama serta mengenal pasti jurang-jurang pelbagai agensi kerajaan secara menyeluruh dalam mengatasi cabaran-cabaran keselamatan tradisional dan bukan tradisional terhadap negara.

Eksesais akan melibatkan kawasan-kawasan perumahan dan komersil serta jalan-jalan raya utama di beberapa buah tempat di negara ini terutama sekali di kawasan Daerah Brunei dan Muara.

Sehubungan itu, orang awam yang tinggal berdekatan dengan kawasan-kawasan eksesais dinasihatkan agar tidak merasa cemas dengan pergerakan anggota-anggota keselamatan atau pasukan beruniform termasuk konvoi kenderaan darat, pesawat udara dan pengangkutan laut serta bunyi bahan-bahan letupan dan piroteknik yang akan digunakan semasa latihan.

Orang awam dinasihatkan untuk menghindari dari memasuki kawasan di mana eksesais sedang dijalankan. Bagi sebarang pertanyaan mengenai perkara ini, orang awam bolehlah menghubungi Pejabat Urus Setia EPK 04/2015 di talian 2775390 atau 8748145.