Ekspedisi Berbasikal pada 23 Okt depan

Ekspedisi Berbasikal pada 23 Okt depan

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 19 Sept – Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah (PMMPMHAMB), Tutong dengan kerjasama Tutong Cycling Team buat julung-julung kalinya akan mengadakan Ekspedisi Berbasikal pada 23 Oktober 2016, bermula dan berakhir di Hospital PMMPMHAMB, Tutong dengan jarak 20km.

Ekspedisi ini dilaksanakan bersempena memperingati sambutan ulang tahun ke-18 pembukaan rasmi Hospital PMMPMHAMB yang mula beroperasi pada 11 Ogos 1998 dan juga menyokong visi Kementerian Kesihatan dan Pusat Promosi Kesihatan iaitu “Bersama Ke Arah Warga Sihat”.

Dengan tema ‘Berbasikal Sambil Beriadah Untuk Kesihatan’, ekspedisi ini dibukakan kepada semua rakyat dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam serta warganegara asing yang memegang kad pintar berwarna ungu dan hijau yang bekerja dan bermastautin di negara ini.

Semua pendaftaran dikenakan pembayaran sebanyak $15 dan setiap pendaftaran yang dilengkapi dengan pembayaran akan mendapat sehelai baju ‘T’ yang akan digunakan semasa hari ekspedisi diadakan.

Pendaftaran akan mula dibukakan pada 15 September hingga 1 Oktober 2016 bermula jam 9.00 pagi hingga 11.30 pagi dan 2.00 hingga 3.30 petang.

Borang penyertaan boleh didapati di Hospital PMMPMHAMB, Tutong; Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Brunei dan Muara; Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait; Hospital Pengiran Isteri Hajah Mariam (PIHM), Temburong; Triple Star Enterprise (Kiulap); Triple Star Enterprise (Tanjung Bunut); Bruwan Company Sdn Bhd (Berakas); Basikal Max (Serusop); Awang Tom Tom (Jerudong); Geotrax (Sungai Liang); Dirt Hut (Tutong); Restaurant Asriza (Lamunin); dan Klinik Lamunin (Tutong).

Borang penyertaan yang lengkap berserta pembayaran mestilah dihantar atau dikembalikan tidak lewat pada 1 Oktober 2016 kepada Urus Setia Ekspedisi Berbasikal 2016 Sempena Ulang Tahun ke-18 Hospital PMMPMHAMB di Tingkat 1, Bilik Inovasi, Hospital PMMPMHAMB pada waktu dan hari bekerja sahaja serta di Kedai Triple Star Enterprise (Kiulap).

Sementara itu, pengagihan dan pengambilan baju ‘T’ akan diadakan pada 20 Oktober 2016 semasa waktu dan hari bekerja sahaja di Tingkat 1, Hospital PMMPMHAMB. Sebarang pertanyaan atau keterangan lanjut, boleh menghubungi urus setia ekspedisi di talian 4260721 sambungan 213/503.

ARTIKEL YANG SAMA