Ekspedisi kumpul dana

Ekspedisi kumpul dana

KOTA KINABALU, 10 Ogos (Bernama) – Sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan, Coalition Duchenne, menganjurkan ekspedisi Gunung Kinabalu Kelima pada Sabtu lepas untuk meningkatkan kesedaran dan pembiayaan bagi ‘Duchenne Muscular Dystrophy’, penyakit saraf semakin mengecut.

Pengasas dan Pengarah Eksekutif Coalition Duchenne, Catherine Jayasuria berkata ekspedisi itu juga untuk memberi penghormatan kepada mereka yang terkorban dalam bencana gempa bumi pada 5 Jun selain meningkatkan kesedaran terhadap perjuangan mereka.

Beliau berkata ekspedisi itu disertai empat malim gunung yang kembali ke laluan gunung itu buat pertama kalinya sejak kehilangan anggota keluarga dan rakan-rakan dalam gempa bumi tragik yang menggegarkan gunung serta memusnahkan laluan pendaki.

“Walaupun pendaki tidak sampai ke puncak kerana kerja memulihkan laluan dijalankan oleh Taman Sabah tetapi mereka menaruh keazaman untuk menamatkan ekspedisi yang diubah suai,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam penghargaan Ekspedisi Gunung Kinabalu.

Beliau berkata Ekspedisi Gunung Kinabalu Coalition Duchenne ialah kumpulan pertama yang menyusuri laluan gunung itu sehingga ketinggian 11,000 kaki sejak gempa bumi melanda.

Turut hadir pada majlis makan malam itu ialah Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Phang Yuk Ming dan Pengarah Taman Sabah Dr Jamili Nais.

Catherine berkata malim gunung Kinabalu banyak membantu dalam pendakian sejak lima tahun lepas dan Robbi Sapinggi, seorang daripada empat yang terkorban dalam kejadian gempa bumi pada 5 Jun, memainkan peranan utama menganjurkan pendakian Coalition Duchenne sebelumnya.