Ekspo 1K1P tampil keunikan

Ekspo 1K1P tampil keunikan

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar oleh Bahyiah Bakir & Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Mei – Ekspo Jualan Satu Kampung Satu Produk (1K1P), dan Hasil Kraf Tangan, Pertanian serta Pameran Jabatan Penjara telah pun bermula hari ini hingga 8 Mei yang diadakan di ruang legar, The Airport Mall.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya merasmikan ekspo jualan tersebut ialah Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Haji Idris bin Haji Mohd Ali.

Ekspo yang berlangsung selama tiga hari ini, merupakan satu platform untuk memperkenalkan dan mempromosikan produk-produk 1K1P yang diakui berkualiti dan mempunyai keunikannya tersendiri disebabkan produk ini dihasilkan oleh pengusaha-pengusaha dari keempat-empat daerah.

Menerusi aktiviti promosi ini dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) yang turut melibatkan Majlis Perundingan Mukim dan Kampung dari empat daerah dan agensi lain, ia dapat meningkatkan keyakinan kepada masyarakat bahawa penghasilan produk ini mampu memenuhi cita rasa, selain memperluaskan pasaran produk-produk yang sedia ada di luar dari kawasan mereka.

Pegawai Projek di KHEDN, Ahmad Fazil bin Zakaria berkata, bagi penjualan produk 1K1P, sebanyak 24 petak telah disediakan dan pembahagiannya mengikut daerah, iaitu sembilan petak bagi Daerah Brunei dan Muara, manakala daerah lain masing-masing lima petak.

Haji Idris ketika merasmikan Ekspo Jualan di Airport Mall, Berakas.
Haji Idris ketika merasmikan Ekspo Jualan di Airport Mall, Berakas.
Antara yang hadir pada acara tersebut.
Antara yang hadir pada acara tersebut.

Menurut beliau lagi, penglibatan majlis perundingan kampung dalam ekspo ini dapat membuka peluang perniagaan dan sokongan kepada penduduk-penduduk kampung supaya terus mengembang majukan perniagaan kepada skala yang lebih besar, serta meningkatkan lagi keyakinan pembeli bahawa hasil produk tempatan juga mampu memberikan saingan terbaik sama ada dalam dan luar negara.

Di samping ekspo jualan, acara tersebut juga diserikan dengan penglibatan Jabatan Penjara yang mengadakan pameran serta demonstrasi pelaksanaan hukuman sebat, Jabatan Penjara Miri, Sarawak dan Limbang, serta kempen derma darah oleh Jabatan Makmal, Kementerian Kesihatan yang diadakan esok (7 Mei).

Tidak ketinggalan juga pertandingan memasak mi menggunakan Mi Senukoh juga diadakan esok jam 8 malam.

Antara produk-produk 1K1P yang diketengahkan dalam ekspo ini termasuklah produk-produk di bawah kategori jualan basah (makanan dan minuman) seperti wajid jawa, nasi upih, karipap dan popia sejuk beku, ambulong, biskut ambulong, kerepek pisang, keladi, labu dan kuih jala, sos cili, bahulu dan banyak lagi. Manakala kategori jualan kraf tangan pula terdiri daripada bakul-bakulan dengan reka bentuk, motif dan warna-warna yang menarik, pemarang dan pisau, tongkat eksklusif pelbagai guna serta rantai kunci.

Melalui kegiatan seumpama ini dapatlah memberikan motivasi kepada pengusaha-pengusaha 1K1P untuk sentiasa bergiat aktif, di samping meningkatkan ekonomi penduduk setempat.

ARTIKEL YANG SAMA