Ekspo Brufit hujung minggu ini

Ekspo Brufit hujung minggu ini

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Sept – Bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai pentingnya kesihatan, kumpulan pelajar dari Kolej IGS iaitu Aptitude Management akan menganjurkan Ekspo Brufit 2015 pada 5 dan 6 September ini di Pusat Promosi Kesihatan.

Timbalan Presiden Ekspo Brufit, Dayang Nur Amalia binti Haji Alidi semasa sidang media, hari ini, menjelaskan ekspo berkenaan bertujuan bagi mendokong usaha murni pihak Pusat Promosi Kesihatan dalam mempromosikan kepentingan menjaga dan mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Selain itu, tambah beliau, ekspo berkenaan juga dapat membantu para pengusaha tempatan terutama yang berunsurkan kesihatan untuk mengembangkan perniagaan dan dikenali ramai yang mana beberapa peniaga tempatan akan ikut serta dalam ekspo tersebut.

Beliau seterusnya menjelaskan, sepanjang ekspo dua hari itu, beberapa aktiviti juga akan diadakan dengan dikenakan bayaran penyertaan di samping kotak-kotak derma yang mana hasil kutipan bayaran aktiviti-aktiviti berkenaan dan derma daripada pengunjung akan disumbangkan kepada Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah untuk anak-anak yatim dan SMARTER.

Antara aktiviti yang akan diadakan termasuk derma darah, pemeriksaan kesihatan secara percuma, cabutan bertuah (hadiah utama tiket pergi balik ke Kuala Lumpur, Malaysia, basikal dan macam-macam lagi), Fitness Hunt, peraduan mewarna dan melukis, kelas zumba dan bermacam-macam kelas kesihatan yang dibukakan secara percuma, Kelas Amal dari Dojo dengan bayaran $2 dan banyak lagi.

Dayang Nur Amalia menunjukkan poster ekspo dua hari berkenaan.
Dayang Nur Amalia menunjukkan poster ekspo dua hari berkenaan.

Antara yang menarik adalah kelas percubaan menyelam yang dikendalikan oleh Poni Divers dengan harga yang telah ditetapkan dan orang ramai juga dapat menyewa basikal semasa berkunjung di Pusat Promosi Kesihatan.

Ekspo berkenaan merupakan salah satu projek tahun akhir para pelajar berkenaan bagi memenuhi syarat wajib dalam pembelajaran Ijazah Sarjana Muda dalam Pentadbiran dan Perniagaan, yang dianjurkan bersama Pusat Promosi Kesihatan dan turut disokong oleh Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Pembangunan, Kolej IGS, University Lim Kok Wing dan Biro Kawalan Narkotik.

Dayang Nur Amalia menyatakan harapan agar ekspo yang menyasarkan kepada kira-kira 2,000 pengunjung itu akan dapat memberi manfaat dan faedah kepada ibu bapa dan pengunjung lainnya dalam memastikan dan mengamalkan gaya hidup yang sihat di samping dapat membantu anak-anak mereka mempelajari pentingnya kesihatan jasmani dan rohani untuk kehidupan yang lebih cerah.

Sehubungan dengan itu, orang ramai adalah dialu-alukan berkunjung ke ekspo itu nanti yang mana masuk adalah percuma dari jam 7 pagi hingga 6 petang.

Maklumat lanjut mengenai ekspo berkenaan, orang ramai bolehlah mengikuti akaun Instagram “brufit_expo” atau Facebook “Brufit Expo”.

ARTIKEL YANG SAMA