Ekspo Buildex pamer produk pembinaan terkini

Ekspo Buildex pamer produk pembinaan terkini

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mei – Lebih 20 buah syarikat yang terlibat dalam bidang kontraktor dan pembinaan di negara ini mengambil peluang mempamerkan dan memperkenalkan produk serta perkhidmatan mereka pada Ekspo Buildex yang bermula hari ini hingga 10 Mei di Stadium Tertutup Berakas.

Ekspo yang julung-julung kalinya dianjurkan oleh CONFEX dengan sokongan Kementerian Pembangunan itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Paduka Haji Suhaimi bin Haji Gafar.

Menurut Pengurus Besar CONFEX, Awang Hafriz Musa, ekspo itu antara lain bertujuan untuk berkongsi maklumat berhubung peraturan terkini selain memberi galakan dari segi perdagangan dan pertumbuhan ekonomi terutama bagi syarikat yang berhasrat untuk bergiat aktif dalam projek pembangunan negara.

Selain itu, ia juga merupakan permulaan dan pendekatan awal bagi pengunjung mempelajari dan melihat dari pelbagai perspektif yang lebih luas dalam industri ini.

Dato Paduka Awang Haji Suhaimi berpeluang melihat lebih dekat lagi syarikat yang menyertai ekspo berkenaan.
Dato Paduka Awang Haji Suhaimi berpeluang melihat lebih dekat lagi syarikat yang menyertai ekspo berkenaan.

Ini termasuk persidangan HSE dan dialog, program latihan praktikal dan penerbitan jurnal.

“Setakat ini, kami telah berjaya dalam pelbagai industri dalam negara melalui pendekatan yang sama iaitu dengan mensinergikan persidangan dan pameran selain memastikan ia juga memberi manfaat kepada Kementerian Pembangunan,” tambahnya semasa menyampaikan ucapan pada majlis perasmian ekspo tersebut.

Ekspo Buildex bukan saja memberi peluang kepada pengunjung untuk mendapatkan dan melihat lebih dekat lagi produk yang dipamerkan oleh syarikat-syarikat yang ikut serta malahan juga berpeluang mendengarkan forum mengenai pembinaan dan keselamatan yang akan diadakan pada 9 dan 10 Mei 2016.

ARTIKEL YANG SAMA