Ekspo Festival Raya dapat sambutan

Ekspo Festival Raya dapat sambutan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Julai – Ekspo Festival Raya anjuran Artsyglam dan Sweet Indulgence by F & Z yang berlangsung di Tingkat 7, Dewan Goldstone Ballroom, Hotel Centrepoint, Gadong, selama dua hari, hingga hari ini, mendapat sambutan begitu menggalakkan daripada orang ramai sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Lebih 20 usahawan tempatan dan dari Malaysia menyertai ekspo itu, antaranya Naelofar Hijab, House of Yumma, Azkaeshoppe, Ameerah Azzahra, El Jumana dan Anna Noor, dengan menampilkan hijab-hijab berjenama, pakaian jubah perempuan dan lelaki, kuih-muih dan banyak lagi.

Pemilik Muslimaat Jumala, Dayang Siti Zubaidah binti Haji Kula, 20, semasa ditemui menjelaskan bahawa beliau sangat meminati bidang keusahawanan ini sejak tahun 2012.

Pada permulaannya, beliau mula menjual beberapa jenis tudung shawl seperti jenama Naelofar dengan modal perniagaan sebanyak $400 sahaja dan dari situlah beliau mula berkembang sedikit demi sedikit.

Menurut Dayang Siti Zubaidah lagi, beliau sering kali disokong dari segi kewangan dan juga didorong oleh kedua ibu bapa bersama ahli keluarganya dalam meraih kejayaan yang diingini.

Sebahagian orang ramai yang mengunjungi ekspo yang berlangsung di Tingkat 7, Dewan Goldstone Ballroom, Hotel Centrepoint, Gadong.
Sebahagian orang ramai yang mengunjungi ekspo yang berlangsung di Tingkat 7, Dewan Goldstone Ballroom, Hotel Centrepoint, Gadong.
Dayang Siti Zubaidah bergambar bersama produk Bokitta di petak pamerannya.
Dayang Siti Zubaidah bergambar bersama produk Bokitta di petak pamerannya.

Kini, setelah beberapa tahun kemudian, perniagaan beliau semakin maju dan beliau dikenali sebagai salah satu usahawan tempatan yang menjual jenama tudung terkenal, Bokitta, di negara ini.

Beliau juga merupakan penuntut Tahun 2 di Universiti Islam Sultan Sharif Ali, dalam bidang undang-undang Syariah.

“Alhamdulillah, sambutan orang ramai begitu baik walaupun di hari pertama ini. Muslimaat Jumala juga menampilkan tawaran-tawaran harga dan promosi yang menarik di sepanjang ekspo bagi tahun ini.”

Beliau berharap agar keuntungan yang didapati melalui perniagaan ini akan dapat menampung perbelanjaan menunaikan haji bagi kedua-dua ibu bapa beliau di masa akan datang di samping mengembangkan lagi perniagaan dari segi jenis-jenis produk yang dijual.

ARTIKEL YANG SAMA