Ekspo Fesyen Hijab buka tirai

Ekspo Fesyen Hijab buka tirai

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 April – Ekspo Fesyen Hijab 2016 anjuran Ezamay Enterprise Event Management dengan rakan kerjasama dari Kuala Lumpur, Faiz Boutique, membuka tirainya hari ini di Tingkat 2, Lobi Times Hotel, Berakas.

Hadir bagi melancarkan ekspo empat hari berkenaan ialah isteri Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Hajah Sarimah binti Haji Abu Bakar.

Pengerusi Majlis, Hajah Nor Aine Khalizahyati binti Haji Matamit dalam ucapannya menjelaskan bahawa ekspo tahun ini disertai oleh 16 peserta pameran yang terdiri daripada pengusaha-pengusaha tempatan dan luar negara iaitu Malaysia.

“Mereka ini adalah kalangan peniaga-peniaga yang sudah mahir dan berjaya di dalam bidang perniagaan berbentuk Muslim atau Muslimah dan sering mengikuti ekspo-ekspo dalam dan di luar negara.”

Melalui ekspo ini, ia merupakan salah satu contoh yang baik kepada para peniaga di negara ini terutama sekali bagi peniaga-peniaga yang baru berjinak-jinak dalam perniagaan serta memantapkan lagi perniagaan mereka, jelasnya.

Hajah Sarimah (dua, kanan), Hajah Nor Aine Khalizahyati (kiri) bersama para tetamu yang lain semasa meninjau petak-petak pameran.
Hajah Sarimah (dua, kanan), Hajah Nor Aine Khalizahyati (kiri) bersama para tetamu yang lain semasa meninjau petak-petak pameran.

Ekspo yang akan berlangsung sehingga 4 April 2016 ini dibukakan untuk kunjungan orang ramai bermula jam 10 pagi sehingga 9:30 malam kecuali Jumaat dari 2:30 petang sehingga 9:30 malam.

Sepanjang ekspo ini dijalankan, pelbagai aktiviti juga akan diadakan khasnya untuk kanak-kanak seperti aktiviti mewarna dan hena.

Salah seorang peniaga dari Malaysia yang ditemui, Nita selaku pemilik kedai Nita Haus of Tudong & Jami’al Helwah menjelaskan, beliau menyertai ekspo di Brunei buat kali pertama dan beliau telah dibantu oleh rakan beliau di negara ini untuk menyertainya.

Beliau menyatakan harapan agar sambutan orang ramai begitu memberangsangkan dan menggalakkan walaupun ia hanya kali pertamanya di sini.

Nita memberitahu pihak Media Permata bahawa antara produk-produk yang laris dijual dan digemari ramai ialah seperti shawl, hijab ombak rindu, hijab dua muka dan banyak lagi.

Ekspo Fesyen Hijab 2016 diharap dapat menarik minat orang ramai dalam memupuk sikap ingin berniaga dengan menjadikan ekspo ini sebagai inspirasi dan platform kepada pengusaha-pengusaha tempatan dalam usaha untuk sama-sama meningkatkan ekonomi negara pada masa akan hadapan.

Pada masa yang sama juga, ia diharap dapat mengeratkan lagi hubungan di antara Brunei dan Malaysia serta sama-sama mengembangkan hubungan perniagaan di antara kedua-dua buah negara.

ARTIKEL YANG SAMA