Ekspo fesyen Islam buka tirai

Ekspo fesyen Islam buka tirai

Oleh Imelda Groves HA

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Jun – The Brunei Islamic Fashion Expo (BIFEX) 2016 membuka tirainya hari ini di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas dan pelancarannya disempurnakan oleh Yang Amat Mulia Pengiran Anak Hajah Siti Radhiah binti Pengiran Maharaja Lela Sahibul Kahar Pengiran Anak Haji Mohd Yusof.

Ekspo anjuran VS Event Management dengan kerjasama Brunei Darussalam International Showcase dan Songket Wedding itu bertujuan untuk merangsang dan menggalakkan aktiviti ekonomi dan untuk hubungan perniagaan dalam kalangan pempamer tempatan dan antarabangsa.

Pihak penganjur juga menambah acara seumpamanya itu juga bertujuan untuk mempromosikan dan menggalakkan fesyen Islam pada masyarakat di sini.

BIFEX 2016 akan berlangsung sepanjang hujung minggu ini bermula hari ini sehingga 26 Jun nanti.

Ekspo berkenaan menawarkan fesyen-fesyen terkini Muslimah selain menawarkan produk dan perkhidmatan untuk jenama fesyen termasyhur seperti House of Doll, Julia Betty, PAJ by Azza Elite dan Yasmieen Zara Boutique.

YAM Pengiran Anak Hajah Siti Radhiah yang hadir selaku tetamu kehormat.
YAM Pengiran Anak Hajah Siti Radhiah yang hadir selaku tetamu kehormat.
Tetamu kehormat ketika bergambar ramai bersama Aaron Aziz di petak jualan Diyana Halik.
Tetamu kehormat ketika bergambar ramai bersama Aaron Aziz di petak jualan Diyana Halik.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Acara itu juga diteruskan dengan sesi bertemu peminat bersama selebriti-selebriti seperti Fazura, Sazzy Falak dan Aaron Aziz.

Kehadiran Aaron Aziz untuk membawakan barisan fesyen Diyana Halik ke negara ini adalah antara yang dinanti-nantikan oleh peminatnya yang berbaris panjang untuk mendapatkan peluang bergambar bersama pelakon yang tidak asing lagi ini.

Beliau yang membantu isterinya di petak pameran Diyana Halik dengan menjual barisan tudung fesyen berjenama Diyana Halik itu mendapat perhatian para pengunjung yang juga peminat beliau sehingga sesi perjumpaan itu berakhir, para peminat masih mengikuti beliau sehingga keluar dewan.

Walaupun agak baru, pameran itu dihasratkan dapat menjadi pameran fesyen Islam terbesar tempatan.

Di samping mengukuhkan hubungan perniagaan dengan peniaga dari negara-negara jiran, pameran diharapkan dapat meneruskan usaha mengembangkan industri fesyen Islam tempatan agar setanding dengan fesyen luar negara namun masih lagi mengekalkan nilai-nilai tempatan dan budaya Brunei.