Ekspo Jualan 1K1P dilancar

Ekspo Jualan 1K1P dilancar

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Feb – Produk-produk tempatan khususnya yang dihasilkan di bawah Program Satu Kampung Satu Produk (1K1P), mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada para pengguna tempatan di mana bagi meningkatkan lagi mutu serta pilihan produk yang dihasilkan, lebih banyak produk tempatan diperkenalkan kepada pasaran tempatan.

Untuk mendedahkan produk-produk yang dihasilkan di bawah Program 1K1P, Majlis Perundingan Mukim (MPM) Gadong ‘B’ dengan kerjasama Bahagian Institusi Mukim dan Kampung, Jabatan Daerah Brunei dan Muara mengadakan Ekspo Jualan 1K1P yang bermula hari ini, di Ruang Legar, The Times Square, Berakas.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan perasmian ekspo berkenaan ialah Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim.

Semasa ekspo itu, Awang Misle turut menyempurnakan pelancaran beberapa produk baru yang dikeluarkan oleh majlis-majlis perundingan kampung iaitu Produk Madu Kelulut keluaran Majlis Perundingan Kampung (MPK) Tungku/Katok, Mukim Gadong ‘A’, Produk Bedak Kelulut dan Pirasang keluaran MPK Sungai Kebun, Mukim Sungai Kebun dan pembungkusan termasuk, produk Snek Lumai Ikan, Keropok Udang dan Keropok Ikan.

Ekspo itu merupakan siri pertama atau ekspo pertama yang dilaksanakan bagi 2016, yang mana tiga ekspo akan dilaksanakan pada masa akan datang.

Awang Misle melancarkan Produk Bedak Kelulut dan Pirasang keluaran MPK Sungai Kebun.
Awang Misle melancarkan Produk Bedak Kelulut dan Pirasang keluaran MPK Sungai Kebun.

Selain pelancaran produk-produk tersebut, lebih daripada 10 petak jualan telah disediakan bagi MPK Daerah Brunei dan Muara untuk memasarkan produk mereka iaitu produk makanan, pembuatan dan kraf tangan, anyaman, ubat-ubatan herba tradisional serta produk-produk baru yang terus mendapat perhatian dan permintaan daripada orang ramai.

Program 1K1P merupakan salah satu platform bagi majlis-majlis perundingan mukim dan kampung untuk mengetengahkan produk-produk yang dihasilkan oleh mereka termasuk makanan, kraf tangan, ubatan herba dan perkhidmatan yang ditawarkan.

Melalui pameran dan kegiatan jualan produk yang dilaksanakan, ia diharapkan dapat mengembangkan lagi pasaran dan meningkatkan lagi permintaan bagi produk-produk keluaran majlis perundingan mukim dan kampung berkenaan.

Ekspo Jualan 1K1P dibuka untuk kunjungan orang ramai hingga Ahad dari pukul 10 pagi hingga 10 malam kecuali Jumaat yang akan ditutup sementara dari pukul 12 tengah hari hingga 2 petang.

ARTIKEL YANG SAMA