Ekspo pelbagai budaya 30 Mac ini

Ekspo pelbagai budaya 30 Mac ini

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Mac – The Flavours of BIMP EAGA: Culture & Food Expo 2016 yang dipenuhi dengan pelbagai aktiviti menyeronokkan dan koleksi hebat vendor dari seluruh rantau Kawasan Pertumbuhan Asia Timur Brunei Indonesia Malaysia dan Filipina (BIMP EAGA), akan berlangsung dari 30 Mac hingga 3 April ini.

Eskpo pelbagai budaya anjuran Majlis Perdagangan BIMP EAGA (BD-BEBC), Brunei Darussalam dengan kerjasama ekonomi sub-serantau antara Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Filipina akan berlangsung di The Airport Mall, Berakas.

Menurut Pengerusi BD-BEBC, Pengiran Yura Kesetria bin PSN Pengiran Haji Mohd Yusuf ekspo tersebut dijadual dirasmikan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali bin Haji Apong yang akan turut melancarkan buku masakan terbaru, ‘Spice Of Life: Recipes & Remedies.’

Bercakap dalam satu sidang media di Ibu Pejabat BD-BEBC, di The Airport Mall, Berakas, hari ini beliau berkata, ekspo itu antara lain bertujuan menggalakkan pertukaran budaya antara negara-negara BIMP EAGA.

“Antara ciri-ciri utama acara itu termasuk beberapa aktiviti yang akan mencontohi beberapa aspek budaya tradisional dan makanan daripada banyak etnik di BIMP EAGA dan pada masa yang sama berfungsi sebagai platform untuk menggalakkan pembangunan ekonomi di rantau ini.

Pengiran Yura Kesetria bersama wakil-wakil dari negara anggota BIMP EAGA dan Royal Brunei Catering yang terlibat dalam menjelaskan mengenai ekspo berkenaan.
Pengiran Yura Kesetria bersama wakil-wakil dari negara anggota BIMP EAGA dan Royal Brunei Catering yang terlibat dalam menjelaskan mengenai ekspo berkenaan.

Ekspo ini akan bermula dengan beberapa tarian tradisional disampaikan oleh penghibur dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; Restoran Aminah Arif akan mempamerkan cara ‘Menumpah ambuyat’ mereka; Zella Boutique Bridal dengan ‘Majlis Berbedak’; Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan akan menunjukkan cara ‘Ikatan Sinjang Lipatan Tanjak’ dibuat, serta banyak demonstrasi hidangan dari restoran-restoran.

Pada setiap malam ekspo berkenaan, akan ada persembahan kebudayaan dari empat buah negara BIMP EAGA yang mempamerkan tarian tradisional, lagu, permainan termasuk demonstrasi masakan mereka.

Selain itu, chef-chef terkenal dari beberapa restoran ternama seperti Royal Brunei Catering Sdn Bhd, Sorriso Restaurant, Energy Kitchen, High Frequency, Star Lodge Hotel Restaurant dan rantau ini akan mengadakan demonstrasi masakan khas di mana peserta awam akan dapat belajar dan menikmati hidangan yang disediakan.

Mereka juga akan menjadi tuan rumah beberapa pertandingan memasak untuk orang ramai mengambil bahagian untuk menguji kemahiran masing-masing.

Pendek kata, akan terdapat banyak aktiviti yang menyeronokkan untuk semua orang dari golongan muda hingga dewasa.

ARTIKEL YANG SAMA