Ekspo Pendidikan UK 19 Ogos ini

Ekspo Pendidikan UK 19 Ogos ini

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Ogos – Persatuan Universiti British Brunei (BUBA) akan menganjurkan Ekspo Tahunan Pendidikan UK ke-3 pada 19 Ogos ini yang akan menyaksikan penyertaan sebanyak 28 universiti dan kolej dari serata United Kingdom.

Ekspo pendidikan yang akan diadakan di Indera Samudera Grand Hall 1, Empire Hotel and Country Club itu juga akan disertai sama oleh Unit Biasiswa dan Majlis Akreditasi, Kementerian Pendidikan bagi menjawab pertanyaan dan kemusykilan para pengunjung ke ekspo pendidikan itu mengenai isu biasiswa dan pinjaman pendidikan ke luar negara yang ditawarkan oleh kementerian berkenaan.

Dalam kenyataannya, BUBA menyatakan, Pusat bagi Guru-guru Britain (CfBT) juga akan mengadakan taklimat bagi mereka yang berminat untuk menduduki ujian IELTS.

Ekspo pendidikan itu ditujukan kepada para pelajar yang berminat untuk melanjutkan pengajian lanjutan mereka di United Kingdom bagi sesi pengajian 2016 dan 2017 dan juga menyediakan kemudahan bagi pelajar yang ingin mendapatkan tempat bagi kemasukan September 2015, untuk berbincang dengan wakil universiti yang diminati mereka.

Pengerusi BUBA, Kimberley Tritton, dalam kenyataan itu berkata: “Lawatan kali ini adalah kali ke-15 bagi diri saya dan saya amat berbesar hati untuk berpeluang bertemu dengan pelajar Negara Brunei Darussalam sekali lagi,” katanya.

Beliau menyatakan harapan agar dapat bertemu dengan lebih ramai pelajar di ekspo tersebut untuk mengucapkan tahniah atas pencapaian cemerlang mereka dalam akademik serta bersedia membantu memberikan maklumat berguna mengenai peluang pendidikan lanjutan yang dapat mereka manfaatkan. Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama David Campbell berkata: “Kami mengalu-alukan penyertaan begitu banyak universiti Britain pada ekspo pendidikan itu dan ini akan memberikan peluang yang baik bagi pelajar Brunei, ibu bapa mereka dan para guru untuk mengetahui lebih banyak maklumat mengenai United Kingdom.”

ARTIKEL YANG SAMA