Ekspo Pengajian Tinggi 13 Feb

Ekspo Pengajian Tinggi 13 Feb

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Feb – Kementerian Pendidikan mengumumkan bahawa Ekspo Pengajian Tinggi 2016 akan diadakan bermula 13 hingga 14 Februari ini di Dewan BRIDEX 1, Jerudong, yang akan dibuka dari jam 8:30 pagi hingga 5:30 petang.

Mengumumkan mengenai ekspo itu semasa sidang media di Kementerian Pendidikan, hari ini, Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan (Pengajian Tinggi), Hajah Anis Faudzulani binti Haji Dzulkiflee, selaku Ketua Bahagian Pengajian Tinggi berkata, ekspo yang pertama kali diadakan di Brunei Darussalam itu menyatukan kesemua institusi pengajian pasca menengah dan pengajian tinggi kerajaan dan swasta di bawah satu bumbung bagi memberikan gambaran mengenai landskap pengajian pasca menengah dan pengajian tinggi di negara ini.

Ia akan mempamerkan kepada pengunjung mengenai kepelbagaian program-program dan seterusnya menonjolkan peluang-peluang pendidikan sepanjang hayat yang sedia ada di negara ini.

Menurutnya lagi, ekspo ini adalah satu landasan atau platform bagi institusi-institusi memperkenalkan ciri-ciri mereka, serta mengongsikan program-program yang ditawarkan, kriteria dan proses-proses kemasukan dan segala yang berkaitan dengannya.

“Kita berharap ia akan menjadi landasan bagi interaksi secara langsung antara pelajar-pelajar yang berminat dengan pihak institusi yang ingin dimasuki, tanpa perlu pergi ke kampus mereka.

Hajah Anis Faudzulani ketika mengumumkan mengenai Ekspo Pengajian Tinggi semasa sidang media di Kementerian Pendidikan, semalam.
Hajah Anis Faudzulani ketika mengumumkan mengenai Ekspo Pengajian Tinggi semasa sidang media di Kementerian Pendidikan, semalam.

“Dengan mengadakan ekspo satu bumbung ini, ia juga memudahkan mereka yang cenderung atau berminat untuk berinteraksi dengan pelbagai institusi bagi mendapatkan nasihat mengenai peluang-peluang kemasukan mereka dalam satu waktu yang munasabah,” tambahnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa kesemua institusi pengajian tinggi awam akan menyertai ekspo berkenaan iaitu Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Institut Teknologi Brunei (ITB), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Politeknik Brunei (PB) dan Institut Pendidikan Teknik Brunei (IBTE).

“Kita sangat mengesyorkan mereka yang cenderung untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi untuk tidak melepaskan peluang di ekspo ini kerana, untuk pengetahuan jua, UBD, ITB dan PB tidak akan mengadakan Hari Terbuka atau ‘Open Day’ mereka seperti tahun sebelumnya,” tekan beliau.

Bagi pengajian tinggi swasta, ekspo ini akan disertai oleh Kolej Perniagaan Laksamana, Kolej IGS, Micronet, KEMUDA dan BICPA.

Juga akan turut serta adalah Perkampungan Keusahawanan (E-Village, di bawah inisiatif ‘National Entrepreneurship Agenda’ Kementerian Pendidikan) dan Agensi Pekerja Tempatan dan Pembangunan Tenaga Kerja (APTK).

Pavilion Kementerian Pendidikan pula akan diwakili oleh Bahagian Biasiswa, Bahagian Pengajian Tinggi, khasnya Skim Bantuan Pinjaman Pendidikan Pinjaman (SBPP atau Loan Facility) dan HECAS (Sistem Pusat Kemasukan ke Pengajian Tinggi), serta Majlis Kebangsaan Pengiktirafan Kelulusan (MKPK) untuk menjawab segala pertanyaan-pertanyaan yang berkenaan.

Ekspo ini dibukakan kepada orang awam, terutama mereka yang berminat untuk meningkatkan pelajaran, dan mereka yang ingin mengembangkan kemahiran atau profesionalisme khususnya bagi lepasan menengah dan pra-universiti, iaitu Lepasan ‘O’ Level dan ‘A’ Level atau kelulusan yang sebanding dengannya seperti Diploma.

Ia juga memberikan peluang kepada mereka yang ingin melanjutkan ke peringkat lebih tinggi seperti program ijazah sarjana dan kedoktoran, dan pelbagai bidang profesional.

Ini tidaklah terhad kepada pelajar-pelajar atau pengunjung-pengunjung dalam negeri, malah memandangkan landskap pendidikan yang kondusif di negara ini, ia juga membukakan peluang yang sama kepada pelajar dan pengunjung luar negara, terutama dari seluruh Borneo.

Ekspo itu nanti dijangka dirasmikan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.

Turut hadir semasa sidang media itu ialah Ketua Bahagian Biasiswa, Haji Ibrahim bin Haji Bagol selaku Pengerusi Bersama ekspo dan Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah IBTE, Dr. Chin Wei Keh.