Ekspo Pengajian Tinggi dilanjut sehari lagi

Ekspo Pengajian Tinggi dilanjut sehari lagi

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Feb – Berikutan sambutan yang sangat memberangsangkan, Kementerian Pendidikan melalui Bahagian Pengajian Tinggi dan Bahagian Biasiswa melanjutkan Ekspo Pengajian Tinggi 2016 sehingga esok, (Isnin 15 Feb.) untuk memenuhi kehendak dan keperluan orang ramai yang rata-ratanya berpendapat bahawa ekspo tersebut patut dilanjutkan.

Ekspo Pengajian Tinggi 2016 yang berlangsung selama tiga hari di Dewan Pameran 1, Pusat Pameran Antarabangsa BRIDEX, Jerudong telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai terutamanya para pelajar yang baru sahaja menerima keputusan ‘O’ Level dan ‘A’ Level mereka.

Dilancarkan kelmarin oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman, ekspo berkenaan disertai oleh institusi-institusi pengajian awam dan swasta di negara ini, termasuk Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Institut Teknologi Brunei (ITB), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Politeknik Brunei, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), KEMUDA, Kolej Laksamana, Micronet, IGS, BICPA-ACC dan Cosmopolitan.

Ekspo anjuran Kementerian Pendidikan melalui Bahagian Pengajian Tinggi dan Bahagian Biasiswa ini adalah yang pertama kalinya diadakan secara besar-besaran di bawah satu bumbung dan dibuka mulai jam 8:30 pagi hingga 5:30 petang.

Suasana Ekspo Pengajian Tinggi 2016 yang berlangsung di Dewan Pameran 1, Pusat Pameran Antarabangsa BRIDEX yang mendapat sambutan menggalakkan.
Suasana Ekspo Pengajian Tinggi 2016 yang berlangsung di Dewan Pameran 1, Pusat Pameran Antarabangsa BRIDEX yang mendapat sambutan menggalakkan.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi (dua, kiri), Hajah Anis Faudzulani (kanan) bersama yang lain hadir pada majlis Ekspo Pengajian Tinggi 2016 di Pusat Pameran Antarabangsa BRIDEX.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi (dua, kiri), Hajah Anis Faudzulani (kanan) bersama yang lain hadir pada majlis Ekspo Pengajian Tinggi 2016 di Pusat Pameran Antarabangsa BRIDEX.

Ketua Bahagian Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan, Hajah Anis Faudzulani binti Haji Dzulkiflee selaku Pengerusi bersama Majlis Ekspo Pengajian Tinggi, semasa ucapan alu-aluannya pada majlis pelancarannya kelmarin berkata, ekspo ini bermatlamat untuk memberikan pelajar-pelajar atau mereka yang berminat untuk mempertingkatkan dan memperkembangkan ilmu dan kemahiran diri dengan informasi terkini dan komprehensif mengenai peluang-peluang pengajian dan latihan-latihan di peringkat pasca menengah dan pengajian tinggi.

“Kita berharap melalui ekspo ini mereka akan mampu membuat pilihan yang bertepatan, sejajar dengan impian dan harapan mereka,” ujarnya.

Sementara itu, Yang Berhormat Pehin dalam ucapannya pula menekankan, ekspo seumpama ini adalah satu landasan atau platform bagi institusi-institusi pengajian tinggi untuk mengongsikan maklumat dan seterusnya memasarkan program-program yang ditawarkan oleh institusi masing-masing.

Ia juga dapat mempamerkan kepada orang awam mengenai landskap pengajian pascamenengah dan pengajian tinggi yang sering berubah, yang menurutnya, perubahan-perubahan ini telah banyak membukakan peluang (multi-pathways) kepada pelajar untuk mempertingkatkan dan mempelbagaikan pengetahuan dan kemahiran diri dan sekali gus dapat menyumbang kepada peningkatan kapasiti sumber tenaga manusia di negara ini.

“Institusi pengajian tinggi sememangnya memainkan peranan yang penting dalam pembangunan kapasiti sesebuah negara.

“Dalam konteks Negara Brunei Darussalam, peranan institusi pengajian tinggi adalah penting dalam sama-sama melahirkan rakyat yang berpendidikan dan berkemahiran serta selaras dengan Wawasan Brunei 2035.

“Sehubungan dengan ini, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah banyak melabur dan menyediakan peruntukan dalam pembinaan prasarana, meningkatkan kapasiti tenaga pengajar dan merangka kurikulum yang berkualiti sehingga sebanding dan setanding dengan piawaian global dan memperolehi pengiktirafan antarabangsa,” jelas Yang Berhormat Pehin lagi.

Yang Berhormat Pehin juga ada menyatakan bahawa usaha seperti ini telah menunjukkan hasil dari segi peningkatan pelajar tempatan yang meneruskan pengajian di dalam negeri dan juga dari segi sambutan pelajar dari luar negeri yang belajar di institusi pengajian tinggi negara ini.

“Kita mengambil maklum bahawa setakat ini 10 peratus para pelajar di institusi pengajian tinggi awam adalah terdiri daripada pelajar dari luar negara dan ini adalah sesuatu yang memberangsangkan. Peningkatan dalam kemasukan pelajar tempatan dan antarabangsa di institusi pengajian tinggi tempatan ini menunjukkan keyakinan masyarakat terhadap kualiti pendidikan di negara ini.”

Selepas melancarkan ekspo berkenaan Yang Berhormat Pehin juga berkesempatan untuk melawat pavilion-pavilion institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang ikut serta.