Ekspo Ramadan Al-Mubarak 2016 bermula

Ekspo Ramadan Al-Mubarak 2016 bermula

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Jun – Ekspo Ramadan Al-Mubarak 2016 anjuran Tech Evolution Media Company telah membuka tirainya semalam di Stadium Tertutup Berakas di mana ia akan diadakan sehingga 5 Julai depan.

Sejak hari pertama lagi, ekspo berkenaan yang disertai oleh pengusaha tempatan dan luar negara seperti Sarawak telah mendapat sambutan yang begitu menggalakkan daripada orang ramai.

Pengurus Projek Tech Evolution Media Company, Dayang Rina semasa ditemui pihak Media Permata, petang tadi, menjelaskan bahawa lebih 70 buah petak jualan telah disediakan dalam ekspo ini yang mempamerkan pelbagai produk bagi persediaan bulan Syawal yang akan menjelang tidak lama lagi seperti kuih-muih, baju raya, produk-produk karpet, produk solekan dan banyak lagi.

Katanya, rata-rata produk dijual pada harga yang berpatutan dengan pelbagai tawaran yang menarik sesuai bagi kunjungan orang ramai dan juga keluarga.

Orang ramai yang berkunjung ke ekspo petang kelmarin.
Orang ramai yang berkunjung ke ekspo petang kelmarin.
Pelbagai jenis baju raya yang boleh didapati di ekspo tersebut.
Pelbagai jenis baju raya yang boleh didapati di ekspo tersebut.

Menurutnya lagi, ekspo ini turut mengetengahkan aktiviti sampingan seperti pameran reptilia dan pertunjukan kucing serta cabutan bertuah ‘Teka & Menang’ di mana para pengunjung berpeluang untuk membawa pulang hadiah menarik seperti baucar membeli-belah, hamper raya dan banyak lagi.

Ekspo yang dibuka dari jam 10 pagi hingga 10 malam ini bertujuan untuk membantu para usahawan tempatan mempamerkan produk-produk mereka kepada orang ramai di samping mengeratkan lagi hubungan silaturahim di antara usahawan-usahawan yang ada di negara ini.

Selain itu, ia turut menggalakkan orang ramai untuk membeli produk-produk tempatan bagi persiapan hari raya mereka di samping memberikan dorongan yang positif kepada para peniaga di negara ini.

Ekspo ini turut mendapat sokongan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan dengan Media Permata dan Borneo Bulletin selaku media rasmi.

ARTIKEL YANG SAMA