Ekspo Ramadan dapat sambutan

Ekspo Ramadan dapat sambutan

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Julai – Kemeriahan Sambutan Hari Raya Aidilfitri semakin terasa apabila kita berada di hari-hari terakhir Ramadan dan orang ramai sibuk membuat persiapan kedatangan Syawal.

Kesibukan ini jelas dilihat di gedung-gedung perniagaan dan ekspo-ekspo di mana pelbagai jenis tawaran dan hidangan Hari Raya sudah mulai dipasarkan sejak dua minggu terakhir Ramadan.

Sementara itu, tinjauan media ke Ekspo Ramadan Al-Mubarak 2016 yang berlangsung di Stadium Tertutup Berakas hari ini mendapati ramai orang tidak melepaskan peluang berkunjung untuk mendapatkan barangan terutamanya pakaian wanita dan kanak-kanak pada harga istimewa.

Bukan setakat itu, perhiasan dinding seperti kaligrafi kufi yang sudah diperkenalkan di negara sejak lima tahun lalu juga mendapat perhatian pengunjung.

Hena tangan turut mendapat sambutan daripada orang ramai.
Hena tangan turut mendapat sambutan daripada orang ramai.
Suasana di ekspo yang mendapat sambutan daripada pengunjung.
Suasana di ekspo yang mendapat sambutan daripada pengunjung.

Temu bual media dengan salah seorang pekerja di petak kaligrafi kufi di sana, Dayang Siti Nurrohiidah binti Haji Abdul Aziz menjelaskan, sambutan orang ramai terhadap kaligrafi kufi ini baik.

Menurutnya, di samping memperkenalkan kufi ini kepada orang ramai, pihak pengurusnya juga ada menawarkan promosi sempena Hari Raya yang bertujuan untuk memperkenalkan kaligrafi kufi atau lebih dikenali dengan khat khufi kepada orang ramai.

“Kaligrafi kufi ini adalah kaligrafi Arab yang tertua sekali gus merupakan sumber seluruh kaligrafi Arab,” ujarnya.

Sehubungan itu, orang ramai adalah dialu-alukan berkunjung ke ekspo anjuran Star Bugs Event Management berkenaan yang akan berakhir esok (Selasa).