Ekspo Riang Ria dapat sambutan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 12 Mac – Dalam usaha untuk membantu membukakan peluang kepada kalangan peniaga-peniaga kecil dan sederhana (PKS) di daerah ini, Family United Event Management menganjurkan Ekspo Riang Ria yang berlangsung di Pekan Seria, di sini.

Sehubungan itu, majlis perasmiannya telah diadakan hari ini yang disempurnakan oleh Penghulu Mukim Seria, Haji Jamail bin Haji Linap yang seterusnya turut meluangkan masa meninjau lebih 20 petak jualan yang disertai peniaga-peniaga tempatan khususnya di daerah ini.

Setiausaha Family United Event Management, Haji Julaihi bin Haji Junaidi memberitahu, ekspo tersebut merupakan kali kedua diadakan di sini, yang pertama telah diadakan bulan November lalu, dan atas permintaan ramai, mereka menganjurkannya sekali lagi tahun ini.

Menurutnya lagi, sambutan ke atas ekspo tersebut amat menggalakkan, yang mana hampir 500 orang pengunjung datang setiap hari terutama sekali pada sebelah petang dan malam.

Penghulu Mukim Seria bergambar ramai bersama pihak penganjur pada majlis perasmian ekspo tersebut.
Salah seorang belia menunjukkan bakatnya bermainan seruling se-masa mengikuti aktiviti sampingan yang diadakan semasa Ekspo Riang Ria.

“Di samping membukakan peluang kepada peniaga-peniaga tempatan, ekspo ini juga dihasratkan untuk menjadikan Pekan Seria meriah dengan aktiviti sampingan yang kami adakan setiap penghujung minggu termasuklah permainan tradisi dan pameran basikal Fixie dan sebagainya,” katanya.

Di samping mengetengahkan PKS, ekspo tersebut turut menampilkan dan mengetengahkan kepada orang ramai terutama sekali yang berminat dengan kegiatan berbasikal pada masa ini, melalui pameran basikal yang diadakan.

Pameran berkenaan menampilan basikal-basikal yang telah diubahsuai mengikut kreativiti pemilik dan pemenang akan dipilih dalam kalangan mereka untuk menerima hadiah daripada pihak penganjur ekspo bagi menyuntikkan lagi semangat kepada peserta.

Selain itu, ia juga dihasratkan untuk meningkatkan penglibatan dalam kalangan belia dalam mengendalikan ekspo jualan seperti itu, serta menyertai berbagai-bagai aktiviti jualan dan pameran dalam perniagaan yang mereka usahakan secara sepenuh masa atau sambilan pada masa ini.