Eksport alat ganti kereta antara kategori utama dalam eBay

Eksport alat ganti kereta antara kategori utama dalam eBay

KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) – Eksport alat ganti kereta menjadi antara kategori utama untuk pengeksport runcit Malaysia dalam eBay dengan Amerika Syarikat (AS) sebagai pasaran destinasi Nombor Satu.

Menurut kajian yang dijalankan oleh eBay, platform membeli-belah dalam talian, 47 peratus daripada pemilik kenderaan AS membeli alat ganti dan aksesori kereta dalam talian manakala 23 peratus dijangka berbuat demikian pada masa akan datang.

“Ini memberi peluang yang besar kepada vendor alat ganti dan aksesori kereta Malaysia untuk mewujudkan operasi mereka dalam talian dan menumpukan kepada perdagangan merentasi sempadan,” menurut eBay dalam kenyataan hari ini.

Kajian turut mendedahkan 67 peratus daripada pelanggan melakukan penyelidikan mengenai kenderaan melalui peranti mudah alih mereka, dengan satu daripada lima menyatakan mereka ‘sentiasa’ atau ‘amat kerap’ berbuat demikian.

“Ini merupakan peluang kepada vendor dan usahawan runcit kereta Malaysia untuk menggunakan eBay sebagai platform untuk perniagaan mereka.

“Eksport alat ganti kereta menjadi kategori yang berkembang pesat di eBay,” katanya.

Ketua Negara CBT Malaysia eBay, Wong Mei Inn, berkata masanya telah tiba untuk penjual alat ganti kereta tempatan menceburi bidang eksport untuk memacu lebih banyak perolehan.

“Ia memberi peluang kepada peruncit alat ganti kereta, daripada usahawan kepada pengeluar, untuk menembusi pasaran global,” kata Wong.

Wong berkata eBay komited untuk bekerjasama dengan kerajaan Malaysia bagi menggalakkan penyertaan perusahaan kecil dan sederhana dalam perniagaan eksport melalui e-dagang.

eBay berkata Jdm-motorparts merupakan contoh syarikat Malaysia memanfaatkan platform perniagaannya untuk berkembang di peringkat global.

“Daripada premis perniagaan di Selangor, syarikat itu menjual alat ganti kereta baharu dan terpakai ke negara-negara seperti United Kingdom, AS dan Australia,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA