Eksport alat perubatan, farmaseutikal berkembang

Eksport alat perubatan, farmaseutikal berkembang

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) – Pelaburan dilulus Malaysia dalam industri peralatan perubatan berjumlah RM11 bilion dari tempoh 2010 hingga 2014, manakala eksport meningkat 12.6 peratus kepada RM13.49 bilion pada 2014 daripada RM11.94 bilion pada 2013.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata sejumlah 42 projek diluluskan pada 2014 sahaja, dengan pelaburan bernilai RM2.15 bilion.

“Pelaburan domestik dalam peralatan perubatan berjumlah RM1.2 bilion dan pelaburan asing berjumlah RM950.6 juta.

“Sektor elektrik dan elektronik terus menjadi tunjang bagi eksport kita dengan eksport peralatan perubatan dan farmaseutikal semakin berkembang,” katanya selepas dialog kementerian dengan persatuan industri farmaseutikal dan peralatan perubatan, di sini, hari ini.

Pada 2014, eksport farmaseutikal meningkat 19.8 peratus kepada RM1.17 bilion daripada RM982 juta pada 2013.

Bagi suku pertama tahun ini, pelaburan dilulus bagi peralatan perubatan berjumlah RM464.6 juta (bagi 11 projek), manakala bagi sub-sektor farmaseutikal, pelaburan bernilai RM75.3 juta (lima projek) diluluskan, katanya.

Peneraju lima persatuan industri – Persatuan Industri Farmaseutikal Malaysia, Persatuan Farmaseutikal Malaysia, Persatuan Industri Perubatan Malaysia, Persatuan Peralatan Perubatan Malaysia dan Persatuan Kosmetik, Dandanan Diri dan Haruman Malaysia – menghadiri sesi tersebut.

Dialog tersebut bertujuan untuk menyemak semula dan menimbangkan pelaksanaan beberapa cadangan berkaitan dengan sektor farmaseutikal dan peralatan perubatan, kata Mustapa.

Beliau berkata industri peralatan perubatan telah dikenal pasti sebagai sub-sektor dengan potensi pertumbuhan tinggi di bawah Rancangan Malaysia Ke-11, memandangkan kaitannya dengan sektor-sektor ekonomi lain seperti pembuatan dan perkhidmatan.

“Kerajaan menyedari potensi pasaran bagi farmaseutikal dan peralatan perubatan semakin meningkat di rantau ASEAN,” katanya.

Mustapa berkata ASEAN memerlukan sistem kesihatan yang berdaya tahan bagi mengawal penyakit berjangkit serta meningkatkan akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan penting dan produk perubatan berkualiti baik termasuk ubatan dan farmaseutikal.

Perbincangan pada dialog tersebut tertumpu kepada kos menjalankan perniagaan, Cukai Barang dan Perkhidmatan, insentif, pemerolehan kerajaan, hak harta intelektual, pembiayaan, ujian klinik, penyelidikan dan pembangunan, prosedur pendaftaran/keperluan pelesenan dan isu-isu rantaian bekalan.

Mengenai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), Mustapa berkata cadangan perjanjian perdagangan bebas serantau itu masih dalam proses rundingan.

ARTIKEL YANG SAMA