Eksport automotif Oktober naik, jualan domestik menurun

Eksport automotif Oktober naik, jualan domestik menurun

BANGKOK, 24 Nov (Bernama) – Eksport kereta dan lori Thailand pada Oktober meningkat sebanyak 19.07 peratus dari tahun ke tahun kepada 111,229 unit, naik dari segi nilai dengan 36.44 peratus dari tahun ke tahun kepada 59.999 baht.

Bagaimanapun, jualan domestik menurun sebanyak 4.2 peratus kepada 67,908 unit.

Pertumbuhan dalam jumlah dan nilai eksport didorong terutamanya oleh pengembangan eksport model terak pikap terbaharu ke Asia, Australia dan Timur Tengah serta eksport kereta eko ke Eropah dan pasaran Amerika Utara, kata Timbalan Pengerusi Kelab Industri Automotif Persekutuan Industri Thai (FTI), Surapong Paisitpatanapong, pada sidang akhbar bulanan di sini hari ini.

Jumlah eksport automotif termasuk enjin dan alat ganti pada Oktober meningkat sebanyak 22.83 peratus kepada 79.623 bilion baht, kata beliau.

Dalam tempoh Januari-Oktober, eksport naik sebanyak 9.03 peratus kepada 1,016,595 unit bernilai 491.519 bilion baht, peningkatan sebanyak 11.67 peratus.

Dengan enjin dan alat ganti, nilai eksport bagi tempoh 10 bulan berjumlah 699.877 bilion baht, pertambahan sebanyak 7.04 peratus.

Katanya, jualan domestik terus lemah, terutamanya disebabkan oleh keadaan ekonomi yang lembap serta faktor-faktor lain seperti kejatuhan harga produk pertanian, kelembapan dalam pelaburan swasta serta syarat pinjaman ketat yang dikenakan oleh institusi kewangan berikutan hutang isi rumah yang tinggi.

Pengeluaran untuk eksport pada Oktober menokok 3.66 peratus dari tahun ke tahun kepada 108,016 unit, manakala pengeluaran untuk pasaran tempatan naik 3.25 peratus dari tahun ke tahun kepada 57,365 unit, katanya.

Jumlah pengeluaran bagi tempoh Januari-Oktober meningkat sebanyak 1.84 peratus kepada 1.597 juta unit, katanya.

ARTIKEL YANG SAMA