Eksport Brunei meningkat pada Mac

Eksport Brunei meningkat pada Mac

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Mei – Jumlah eksport Negara Brunei Darussalam 2016 meningkat kepada $662.1 juta manakala import bernilai $354.3 juta, mengimbangi perdagangan sebanyak $307.8 juta pada Mac 2016.

Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan mengenai Perangkaan Perdagangan Antarabangsa bagi Mac 2016 yang dikeluarkan di sini menyatakan, eksport bahan api galian mencatatkan sumbangan tertinggi bernilai $566.6 juta daripada jumlah eksport keseluruhan, diikuti jentera dan kelengkapan pengangkutan sebanyak $59.5 juta dan bahan-bahan kimia pula $20 juta.

Menurut kenyataan itu lagi, eksport utama negara mencatatkan peningkatan $662.1 juta yang terdiri daripada minyak mentah berjumlah $201.2 juta dan gas cecair asli (LNG) sebanyak $365.4 juta.

Manakala pasaran eksport terbesar adalah Jepun dengan 34.6 peratus daripada jumlah eksport diikuti oleh Republik Korea 24.8 peratus, Thailand 8.9 peratus dan Malaysia 8.2 peratus. Import barangan juga meningkat sebanyak 47.2 peratus daripada $240.7 juta pada bulan Februari 2016 kepada $354.3 juta pada bulan Mac 2016.

Jentera dan kelengkapan pengangkutan mencatatkan sumbangan tertinggi bernilai $130.4 juta daripada jumlah import diikuti oleh barang-barang keluaran kilang $85.2 juta dan makanan $58.0 juta.

Import terbesar adalah dari Malaysia sebanyak 20.4 peratus daripada jumlah import diikuti dengan Singapura iaitu sebanyak 16.1 peratus seterusnya United Kingdom sebanyak 10.1 peratus dan Belgium 8.4 peratus.

Perangkaan Perdagangan Barangan Antarabangsa bagi Negara Brunei Darussalam menggunakan ‘General System’ bagi merekodkan perangkaan perdagangan yang meliputi import, eksport domestik dan eksport semula.

Laporan penuh IMTS bagi Mac 2016 boleh didapati melalui laman web JPKE di www.depd.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA