Eksport ceri pertingkatkan hubungan perdagangan Chile, China

Eksport ceri pertingkatkan hubungan perdagangan Chile, China

SANTIAGO – Sejak kebelakangan ini, buah ceri merupakan antara produk perdagangan utama di antara Chile dengan China apabila terdapat peningkatan ketara pada jumlah ceri yang diimport dari Chile setelah berjaya mendapat permintaan yang tinggi di pasaran Asia.

Perkara tersebut jelas dirasai oleh Rucaray, sebuah syarikat pengusaha tanaman ceri di Rancagua yang merupakan sebuah bandar terletak 100 km daripada ibu kota Santiago dan telah mengeksport buah ceri ke China selama 14 tahun.

Syarikat tersebut telah mengeksport 82 peratus daripada tanamannya ke China di mana rata-rata lebih banyak mengambil pekerja yang terdiri daripada golongan wanita berikutan daripada proses pemprosesan yang semakin dipermudahkan dengan teknologi yang moden untuk menyediakan hasil tuaian dan pembungkusannya.

Pengarah Komersial Rucaray, Ricardo Vial menjelaskan kepada Xinhua bahawa hubungan perdagangan buah ceri tersebut bersama dengan China jelas merupakan satu perkembangan yang sangat baik sekaligus menyumbang ke dalam peningkatan ekonomi negara.

“China telah membantu dalam menstabilkan ekonomi negara di mana ia juga membantu dalam memperkembangkan dan mempelbagaikan lagi pengeluaran produk yang lain,” jelas Vial.

Beliau menambah dengan menyatakan bahawa pasaran China secara tidak langsung telah membantu dalam meningkatkan penghasilan sektor pertanian Chile terutama ketika negara tersebut berhadapan dengan pelbagai kesukaran berhubung dengan jumlah pengeluaran buah tersebut.

“Chile memiliki ladang ceri yang berkeluasan 24,000 hektar dan merancang untuk memperluaskannya lagi berikutan daripada pasarannya juga semakin meningkat bukan sahaja meliputi China bahkan juga ke Amerika Syarikat dan Eropah,” jelas Vial yang telah melawat China sebanyak empat kali.

Pasaran buah ceri ke China secara tidak langsung telah membantu dalam meningkatkan penghasilan sektor pertanian Chile.
Pasaran buah ceri ke China secara tidak langsung telah membantu dalam meningkatkan penghasilan sektor pertanian Chile.
Rata-rata pekerja yang mengusahakan kerja pembungkusan dan pemprosesan buah ceri di Chile adalah terdiri daripada golongan wanita.
Rata-rata pekerja yang mengusahakan kerja pembungkusan dan pemprosesan buah ceri di Chile adalah terdiri daripada golongan wanita.
Buah ceri merupakan antara produk perdagangan utama di antara Chile dengan China yang jelas kian mendapat permintaan yang semakin tinggi.
Buah ceri merupakan antara produk perdagangan utama di antara Chile dengan China yang jelas kian mendapat permintaan yang semakin tinggi.

Kini, Chile juga mula memenuhi keperluan pasaran antarabangsa termasuk China dan Asia Tenggara terutama setelah menandatangani perjanjian perdagangan bebas pada tahun 2005 di mana ia jelas meningkatkan perdagangan asing sekali gus menjadikan China sebagai rakan kongsi perdagangan utama.

Menurut laporan statistik yang disediakan oleh Persatuan Pengeksportan Buah Ceri menjelaskan bahawa kadar jumlah eksport ceri pada tahun 2016 dijangka bakal meningkat sehingga pada jumlah 100,000 tan.

Vial turut menjelaskan bahawa kos pengangkutan buah ceri yang dikenakan adalah AS$3.6 bagi setiap kilogram dan kadar itu akan bertukar-tukar pada setiap minggu.

Masalah utama yang harus dihadapi oleh pihak pengusaha adalah apabila tiada penghantaran melalui udara di antara Chile dan China yang diperkenalkan.

Manakala, penghantaran yang dilaksanakan melalui laluan laut pula dikenakan caj pada harga AS$1.3 bagi setiap kilogram yang mengambil masa selama lebih kurang 22 hari.

Memandangkan buah ceri tidak mampu untuk bertahan lama, sejenis beg istimewa telah dicipta bagi memastikan tahap buah ceri itu kekal segar dan dengan itu penghantaran melalui laluan laut tetap dapat dilaksanakan walaupun ada kalanya ia mengambil masa sehingga 30 hari.

Kesegaran buah ceri tersebut akan terus bertahan sehingga 20 hari sekiranya ia disimpan di dalam tempat yang berhawa dingin.

Rucaray teleh mengeksport 20 juta kotak buah ceri di mana setiap satu daripadanya adalah seberat lima kilogram sejak awal tahun ini walaupun faktor keadaan cuaca yang tidak menentu sering menjadi antara cabaran yang harus dihadapi.

“Kadar jumlah eksport ke China semakin berkembang pada setiap tahun dan seandainya diberi peluang kami berharap untuk mengeksport lebih banyak buah ceri lagi pada tahun ini,” jelas Vial. – Xinhua