Eksport China merosot 6.4 peratus pada April

Eksport China merosot 6.4 peratus pada April

BEIJING, 8 Mei (Bernama/AFP) – Nilai eksport China bagi April jatuh 6.4 peratus berbanding setahun lalu kepada AS$176.3 bilion, namun merupakan peningkatan jika dibandingkan dengan Mac yang jatuh 15 peratus.

Import negara itu pula turun 16.2 peratus tahun ke tahun kepada AS$142 bilion pada April, berbanding kejatuhan 12.7 peratus pada Mac, demikian menurut data yang dikeluarkan oleh Pentadbiran Umum Kastam (GAC) pada Jumaat.

Ini mewujudkan lebihan dagangan sebanyak AS$34.13 bilion bagi April berbanding AS$30.8 bilion pada Mac.

Dalam tempoh empat bulan pertama 2015, eksport China meningkat 1.6 peratus daripada setahun lalu manakala import jatuh 17.3 peratus, menghasilkan lebihan dagangan AS$157.8 bilion, katanya.

GAC berkata dari Januari hingga April tahun ini, perdagangan antara China dan ASEAN naik 1.2 peratus tahun ke tahun kepada AS$146 bilion.

Pekerja pembinaan berjalan melintasi gedung Cartier di Beijing pada 8 Mei. Eksport China merosot pada April ketika import juga menurun enam bulan berturut-turut. – AFP
Pekerja pembinaan berjalan melintasi gedung Cartier di Beijing pada 8 Mei. Eksport China merosot pada April ketika import juga menurun enam bulan berturut-turut. – AFP

Perdagangan dua hala China dan Malaysia bagi tempoh sama jatuh 0.6 peratus tahun ke tahun kepada AS$31 bilion dengan Malaysia kekal sebagai rakan dagang utama China di ASEAN.

Ia berkata dari Januari hingga April tahun ini, perdagangan antara China dan Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam masing-masing naik 8.0, 6.8, 2.7 dan 19 peratus, namun perdagangan dengan Indonesia merosot 19.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Dalam tempoh sama, perdagangan dua hala China-Amerika Syarikat dan China-India, masing-masing naik 2.1 dan 2.6 peratus tahun ke tahun, manakala perdagangan dengan Kesatuan Eropah serta Jepun masing-masing jatuh 5.3 peratus dan 11.2 peratus tahun ke tahun.