Eksport China naik 2.3 peratus

Eksport China naik 2.3 peratus

BEIJING, 13 Jan (Bernama) – Eksport China dalam nilai yuan meningkat 2.3 peratus, tahun ke tahun, pada Disember 2015 berbanding dengan penurunan 3.7 peratus pada November, demikian lapor Xinhua News Agency hari ini.

Import turun empat peratus, penambahbaikan berbanding bulan sebelumnya penguncupan 5.6 peratus, lapor agensi berita itu yang memetik data yang dikeluarkan oleh General Administration of Customs (GAC).

Menurut laporan itu, eksport meningkat kepada 1.43 trilion yuan (AS$218 bilion) pada Disember manakala import turun kepada 1.05 trilion yuan.

Jumlah nilai perdagangan luar pada Disember susut 0.5 peratus tahun ke tahun kepada 2.48 trilion yuan manakala lebihan perdagangan bulanan meningkat kepada 382.1 bilion yuan daripada 343.1 bilion yuan pada November. Bagi 2015, lebihan perdagangan luar China melebar kepada 3.69 trilion yuan, peningkatan 56.7 peratus daripada 2014.

Jurucakap GAC, Huang Songping berkata penurunan perdagangan luar pada tahun lepas disebabkan terutamanya penurunan harga komoditi dan permintaan yang lemah.

Laporan itu juga menyatakan eksport jatuh 1.8 peratus tahun ke tahun kepada 14.14 trilion yuan tahun lepas manakala import susut 13.2 peratus kepada 10.45 trilion yuan. Tahun lepas, jumlah nilai eksport dan import China turun tujuh peratus tahun ke tahun kepada 24.59 trilion yuan.

ARTIKEL YANG SAMA