Eksport domestik bukan minyak S’pura susut 8.4 peratus

Eksport domestik bukan minyak S’pura susut 8.4 peratus

SINGAPURA, 17 Sept (AFP/Bernama) – Eksport domestik bukan minyak (NODX) Singapura turun 8.4 peratus tahun ke tahun pada Ogos 2015, susulan penurunan tahunan 0.7 peratus pada bulan sebelumnya, menurut International Enterprise Singapore (IE Singapore).

Menurut data rasmi yang dikeluarkan hari ini berdasarkan laporan daripada AFP, ia disebabkan permintaan lemah dari China dan Eropah, menambah kemungkinan akan berlakunya kemelesetan teknikal untuk ekonomi yang bergantung pada perdagangan pada suku ketiga.

Prestasi eksport yang lemah pada Ogos telah mendesak ekonomi hampir-hampir mencatat kemelesetan teknikal,” kata Bank DBS dalam komentar pasaran.

“Ia adalah lebih tinggi daripada ramalan kemerosotan pasaran sebanyak 3.5 peratus.” Dalam data IE Singapore berkata ini berikutan kemerosotan dalam NODX elektronik dan bukan elektronik.

NODX kepada semua 10 pasaran utama, termasuk Malaysia, kecuali Amerika Syarikat, Thailand dan Hong Kong, susut pada Ogos 2015. Penyumbang utama kepada NODX yang merosot pada Ogos 2015 ialah Taiwan, Korea Selatan dan China. Berasaskan tahun ke tahun, eksport semula bukan minyak (NORX) berkembang sebanyak 2.6 peratus pada Ogos 2015, selepas kenaikan 4.5 peratus pada bulan sebelumnya disebabkan pengembangan NORX elektronik dan bukan elektronik.