Eksport, import China merosot pada Mei

Eksport, import China merosot pada Mei

BEIJING, 8 Jun (Bernama) – Eksport China susut 2.5 peratus kepada AS$190.8 bilion pada Mei berbanding tahun sebelumnya manakala importnya turut merosot 17.6 peratus kepada AS$131.3 bilion berbanding tempoh sama tahun lepas, kata Pihak Pentadbir Kastam (GAC) negara itu.

Angka itu menunjukkan China mencatatkan lebihan dagangan sebanyak AS$59.49 bilion pada Mei berbanding AS$34.13 bilion, pada April lepas.

Bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini, eksport China naik 0.7 peratus manakala import susut sebanyak 17.3 peratus berbanding tempoh sama, tahun lepas dengan lebihan dagangannya berjumlah AS$217.26 bilion, kata pihak kastam dalam satu kenyataan, hari ini.

Untuk tempoh sama, perdagangan antara China dan Amerika Syarikat serta negara-negara anggota ASEAN naik 2.6 peratus dan 0.3 peratus bagi perbandingan tahun ke tahun.

Seorang pelanggan memilih lampin di sebuah pasar raya yang menjual produk import di Qingdao, di wilayah timur Shandong di China pada 8 Jun 2015. – AFP
Seorang pelanggan memilih lampin di sebuah pasar raya yang menjual produk import di Qingdao, di wilayah timur Shandong di China pada 8 Jun 2015. – AFP

Dagangan dengan Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun merosot 7.2 peratus dan 11.3 peratus bagi tahun ke tahun.

Dari Januari ke Mei, perdagangan antara China dan Malaysia merosot 0.1 peratus bagi tahun ke tahun kepada AS$39.5 bilion, namun negara itu mengekalkan kedudukannya sebagai rakan dagang utama di ASEAN.

Kerajaan China telah menurunkan sasaran pertumbuhan ekonominya kepada sekitar tujuh peratus tahun ini, iaitu yang terendah sejak 2004.

ARTIKEL YANG SAMA