Eksport , import China susut lebih cepat

Eksport , import China susut lebih cepat

BEIJING, 15 Feb – Prestasi dagangan China pada Januari adalah lebih teruk daripada dijangka tatkala permintaan lembap berlarutan di dalam dan luar negara, menambah jangkaan kerajaan akan mengambil langkah seterusnya untuk membendung kemelesetan dan kebimbangan pasaran.

Eksport pada Januari merosot 11.2 peratus berbanding setahun sebelumnya – kemerosotan bulan ketujuh berturut-turut, sementara import merosot 18.8 peratus – kemerosotan bulan ke-15, jauh lebih teruk daripada dijangka, data yang dikeluarkan oleh Pentadbiran Am Kastam menunjukkan hari ini.

Eksport merosot walaupun China telah membenarkan yuan lemah hampir 6 peratus berbanding dolar AS sejak Ogos lalu, menekankan setakat mana permintaan global telah menjadi lemah. China mencatat lebihan dagangan sebanyak AS$63.3 bilion pada Januari – sebahagiannya disebabkan permintaan lemah dan kemerosotan harga komoditi, berbanding AS$60.09 bilion pada Disember.

“Pada keseluruhannya, kami percaya kemerosotan mendadak perniagaan pada Januari mencerminkan permintaan luar yang lemah, terutamanya memandangkan eksport lemah dari ekonomi jiran seperti Korea dan Taiwan,” tulis ahli ekonomi ANZ Li-Gang Liu dan Louis Lam dalam satu nota penyelidikan.

Penganalisis yang ditinjau oleh Reuters telah menjangka eksport merosot 1.9 peratus, setelah merosot 1.4 peratus pada Disember, sementara import telah dijangka merosot 0.8 peratus sahaja, ekoran kemerosotan 7.9 peratus pada Disember. Tinjauan meramalkan satu lebihan dagangan sebanyak AS$58.85 bilion.

Kapal kargo berlabuh di sebuah pelabuhan di Zhoushan, Zhejiang. – Reuters
Kapal kargo berlabuh di sebuah pelabuhan di Zhoushan, Zhejiang. – Reuters

China akan mengekal kestabilan yuan berbanding beberapa mata wang lain dan ia tidak akan membenarkan speculator menguasai sentimen pasaran berhubung rizab tukaran asing China, gabernor bank pusat Zhou Xiaochuan dipetik sebagai berkata pada Sabtu.

Perdana Menteri Li Keqiang berkata Beijing tidak akan mempromosi eksport menerusi penurunan nilai mata wang, walaupun beberapa penasihat dasar telah meminta penurunan yuan yang lebih banyak. – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA