Eksport industri plastik M’sia naik

Eksport industri plastik M’sia naik

KUALA LUMPUR, 29 Mei – Eksport industri plastik Malaysia mencatatkan peningkatan sebanyak 8.5 peratus atau RM12.96 bilion pada 2015 berbanding RM11.94 bilion pada tahun sebelumnya.

Presiden Persatuan Pengeluar Plastik Malaysia (MPMA) Datuk Lim Kok Boon berkata industri plastik Malaysia turut meraih jumlah jualan sebanyak RM24.77 bilion pada 2015 iaitu peningkatan ketara sebanyak 27 peratus berbanding RM19.46 bilion pada 2014.

“Namun, kenaikan ketara itu bukanlah satu perbandingan kerana pihak Jabatan Perangkaan Malaysia melaksanakan kaedah berbeza bagi pengumpulan statistik untuk industri plastik pada 2015,” katanya berucap pada majlis makan malam bersempena ulang tahun ke-49 MPMA.

Lim turut mengingatkan, di sebalik pencapaian itu, industri plastik perlu bersiap menghadapi cabaran termasuk pengurusan kos yang semakin meningkat.

“Ia juga berkaitan dengan pelaksanaan gaji minimum bermula pada Julai depan.

“Cabaran lain termasuk kenaikan bayaran pemprosesan pekerja asing, isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan, persaingan dengan negara ekonomi baharu, isu kelestarian serta pemulihan ekonomi Kesatuan Eropah dan Jepun yang kecil,” katanya.

Pada masa sama, kata Lim, selain berdepan pelbagai isu melibatkan industri berkenaan, MPMA juga bergiat aktif menangani salah faham mengenai plastik khususnya penggunaan polistirena dan beg plastik.

Sehubungan itu, MPMA bertindak menyediakan fakta saintifik berkaitan bagi menangani salah faham itu dan menegaskan bahawa tindakan pengharaman polistirena, beg plastik atau produk lain bukanlah jawapan kepada isu alam sekitar negara ini.

Malah, kata Lim, bukan produk yang mencemarkan alam sekitar, sebaliknya kesalahan itu dilakukan pihak pengotor yang membuang sampah di merata tempat.

Menyedari kepentingan itu, beliau berkata MPMA melaksanakan projek lestari dengan menumpukan perbuatan anti pembuangan sampah secara berleluasa serta amalan pengurangan, guna semula serta kitar semula.

MPMA ketika ini dianggotai seramai 800 ahli merangkumi ahli biasa atau 60 peratus pengusaha plastik tempatan yang juga mewakili 80 peratus daripada pengeluaran produk plastik Malaysia. – Bernama