Eksport kayu dijangka meningkat

Eksport kayu dijangka meningkat

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) – Nilai eksport produk perkayuan negara dijangka meningkat kepada RM24 bilion pada 2016 berbanding RM22.14 bilion pada 2015, biarpun berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi semasa, kata Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia, Dr Jalaluddin Harun.

Beliau berkata sasaran yang lebih tinggi pada tahun ini dipacu oleh perkembangan pembangunan yang pesat di negara-negara Timur Tengah seperti Qatar dan Iran dan juga permintaan yang tinggi di Jepun, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah dan diikuti oleh India dan Australia.

“Industri perkayuan tempatan mengalami cabaran yang lebih hebat berbanding tahun lepas.

“Bagaimanapun, memandangkan pembinaan bangunan pencakar langit di negara-negara lain tetap berjalan, keperluan bahan-bahan pembinaan kita terutamanya kayu dan keperluan hiasan dalaman seperti perabot masih lagi mendapat permintaan luar,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan pameran perdagangan “Wood and Lifestyle Fair”.

Nilai keseluruhan eksport produk perkayuan pada 2015 meningkat sebanyak 6.4 peratus kepada RM22.14 bilion, daripada jumlah tersebut eksport perabot kayu telah mencapai RM7.3 bilion berbanding RM6.4 bilion.

Tahun lepas, pengusaha Bumiputera telah menyumbang RM371 juta kepada nilai eksport perkayuan negara manakala di pasaran domestik, penggunaan produk kayu adalah RM13 bilion, merangkumi produk struktur dan hiasan dalaman.

Jalaluddin berkata penyertaan Bumiputera dalam industri perkayuan masih kecil dari aspek bilangan kilang iaitu sebanyak 9.5 peratus daripada keseluruhan industri, dan pada tahun 2015, kilang Bumiputera hanya berjumlah 345 buah daripada 3,629 kilang kayu dan perabot di Malaysia.

“Hampir 95 peratus daripada jumlah ini ataupun 326 buah kilang merupakan kilang bersaiz kecil dan mikro,” katanya.

Menyedari akan situasi ini, MTIB telah mewujudkan Program Sokongan Bahan Mentah bagi membantu usahawan meningkatkan produktiviti seterusnya memasarkan produk di pasaran tempatan dan antarabangsa.

Setakat Mac 2016, MTIB telah meluluskan 64 permohonan dengan jumlah pinjaman sebanyak RM14.3 juta.

“Mereka ini telah berjaya mendapatkan kontrak kerja bernilai RM68.07 juta dan 95 peratus berjaya mebayar balik pinjaman dalam masa enam bulan,” katanya.