Eksport ke China bebas cukai pada tahun 2018

Eksport ke China bebas cukai pada tahun 2018

NANNING, China, 11 Sept – Eksport barangan ke China tidak lagi dikenakan cukai pada 2018, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II Datuk Seri Ong Ka Chuan.

Beliau berkata pemansuhan halangan bukan tarif itu akan meliberalisasikan pergerakan barangan dari Malaysia ke republik itu.

“Kita telah menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA), di mana barangan kita yang memasuki negara ini adalah 96 peratus bebas cukai… dan kita akan mencapai sifar peratus akhirnya (100 peratus bebas cukai) dan semua barangan tidak akan dicukai.

“Ini akan membawa ke arah e-dagang. Apabila barangan tidak dikenakan cukai, pembeli boleh membeli barangan secara terus melalui Internet,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pavalion Malaysia pada Ekspo China ASEAN (CAEXPO) ke-13 di sini hari ini.

Pelawat menyaksikan buah-buahan yang dipamerkan di Ekspo China-ASEAN ke-13 di Nanning, ibu kota Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, selatan China, kelmarin. – Xinhua
Pelawat menyaksikan buah-buahan yang dipamerkan di Ekspo China-ASEAN ke-13 di Nanning, ibu kota Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, selatan China, kelmarin. – Xinhua

Ong berkata e-dagang merupakan kaedah untuk bergerak ke depan bagi syarikat Malaysia ,bukan hanya untuk memudahkan dagangan dengan China, bahkan dengan negara rakan dagangan Malaysia sedia ada.

Beliau berkata perjanjian antara Malaysia dan Turki telah meningkatkan eksport produk Malaysia ke negara itu sebanyak 123 peratus.

Menerusi s-dagang, angka ini akan terus meningkat, katanya.

Ong berkata daripada 205 syarikat yang menyertai CAEXPO empat hari tahun ini, 40 peratus daripadanya mempunyai operasi perniagaan lain menggunakan platform dalam talian.

CAEXPO yang bermula hari ini, disertai 205 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang akan mengetengahkan produk dan perkhidmatan masing-masing.

CAEXPO yang dianjurkan bersama oleh China dan 10 anggota ASEAN, bermatlamat menggalakkan kerjasama dan pembangunan bersama China dan ASEAN. Tumpuan utama penyertaan CAEXPO tahun ini adalah untuk memanfaatkan CAFTA, mempromosikan eksport Malaysia, menarik pelaburan dari China, mengetengahkan industri pelancongan Malaysia selain menjenamakan Malaysia sebagai negara dinamik yang kaya dengan sumber semula jadi serta memiliki asas ekonomi yang kukuh dan properniagaan. – Bernama