Eksport kenderaan Thailand meningkat

Eksport kenderaan Thailand meningkat

BANGKOK, 21 Sept (Bernama) – Eksport kereta dan trak Thailand pada Ogos meningkat sebanyak 13.88 peratus tahun ke tahun kepada 101,982 unit.

Dari aspek nilai, ia melonjak sebanyak 23.44 peratus kepada 52.859 bilion baht (100 baht = RM12.86), kata Timbalan Pengerusi Kelab Industri Automotif Persekutuan Industri Thailand, Surapong Paisitpatanapong.

“Peningkatan eksport, dari segi jumlah dan nilai, disebabkan bilangan model trak pikap dan kereta eko baharu yang meningkat,” katanya pada sidang media bulanan di sini Isnin.

Bagaimanapun, katanya jualan tempatan terus mencatat penurunan, susut 9.9 peratus kepada 61,988 unit pada Ogos berbanding tempoh sama tahun lepas.

Jualan dalam pasaran tempatan, pula meningkat 1.85 peratus berbanding pada Julai tahun ini.

Surapong berkata jumlah nilai eksport sektor kenderaan pada Ogos, termasuk enjin, komponen dan alat ganti, naik sebanyak 16.9 peratus kepada 74.913 bilion baht tahun ke tahun.

Bagi tempoh Januari-Ogos, eksport meningkat sebanyak 5.26 peratus kepada 780,414 unit dan dari segi nilai, ia naik 4.49 peratus kepada 366.981 bilion baht, berbanding tempoh sama tahun lepas, katanya.

Beliau berkata termasuk enjin, komponen dan alat ganti, eksport selama lapan bulan secara kumulatif naik sebanyak 2.47 peratus kepada 534.737 bilion baht.

Bagi tempoh Januari-Ogos, jualan kenderaan tempatan jatuh 15.7 peratus kepada 491,960 unit berbanding tempoh sama tahun lepas, katanya.

“Faktor sumbangan kepada penyusutan jualan tempatan itu adalah termasuk kelembapan pelaburan negara, harga produk pertanian rendah dan syarat pinjaman yang ketat dikenakan oleh institusi kewangan yang bimbang mengenai hutang isi rumah yang tinggi,” katanya.

Pengagihan bajet yang rendah oleh kerajaan berbanding sasaran awalnya turut memberi kesan kepada kuasa beli, katanya.

Surapong berkata pengeluaran kereta dan trak di Thailand pada Ogos meningkat sebanyak 13.26 peratus tahun ke tahun kepada 159,470 unit.

Beliau berkata pengeluaran bagi pasaran tempatan jatuh sebanyak 2.71 peratus kepada 53,433 unit.

Pengeluaran bagi eksport meningkat sebanyak 23 peratus kepada 106,037 unit pada Ogos, katanya.

“Jumlah pengeluaran bagi tempoh Januari-Ogos sebanyak 1.261 juta unit, naik sebanyak 1.31 peratus tahun ke tahun walaupun pengeluaran bagi pasaran tempatan jatuh 6.5 peratus kepada 471,098 unit,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA