Eksport kereta, trak Thailand naik 28.06 peratus

Eksport kereta, trak Thailand naik 28.06 peratus

BANGKOK, 14 Okt – Eksport kereta dan trak Thailand pada September meningkat sebanyak 28.06 peratus tahun ke tahun kepada 124,952 unit, dan meningkat sebanyak 43.52 peratus kepada 64.54 bilion baht (100 baht = RM12.77), dari segi nilai.

Surapong Paisitpatanapong, Timbalan Pengerusi Kelab Industri Automotif Persekutuan Industri Thailand, berkata pertumbuhan kukuh dalam jumlah dan nilai itu didorong terutamanya oleh peningkatan eksport ke Asia Barat dan pengeksportan kereta eko ke pasaran Eropah dan Amerika Utara.

“Jumlah eksport, termasuk enjin, komponen dan alat ganti pada September, naik sebanyak 27.32 peratus kepada 85.52 bilion baht.

“Bagi tempoh Januari-September, eksport meningkat sebanyak 7.92 peratus kepada 905,366 unit,” katanya pada taklimat media di sini hari ini.

Surapong berkata apabila termasuk enjin, komponen dan alat ganti, nilai eksport berjumlah 620.253 bilion baht, naik sebanyak 5.3 peratus.

Beliau berkata jualan dalam negeri, bagaimanapun, terus lemah.

“Ia jatuh sebanyak 10.5 peratus kepada 61.863 unit pada September berbanding tempoh sama tahun lepas.

“Ini disebabkan ekonomi negara lemah yang masih belum pulih dan faktor lain seperti harga produk pertanian yang rendah, pelaburan swasta yang lembap serta keperluan pinjaman yang ketat dikenakan oleh institusi kewangan yang bimbang mengenai hutang isi rumah yang tinggi,” kata Surapong.

Bagi tempoh Januari-September, nilai jualan dalam negeri sebanyak 553,826 unit, turun 14.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Surapong berkata pengeluaran kereta dan trak Thailand pada September adalah sebanyak 171,496 unit, naik 4.38 peratus, tahun ke tahun, berikutan peningkatan pengeluaran untuk pasaran eksport.

Pengeluaran untuk eksport naik 22.21 peratus kepada 122,074 unit, bagaimanapun pengeluaran untuk pasaran dalam negeri susut 23.27 peratus tahun ke tahun kepada 49,422 unit, katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA