Eksport Malaysia ke AS melonjak

Eksport Malaysia ke AS melonjak

NEW YORK, 13 Nov (Bernama) – Eksport Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) melonjak 12.9 peratus kepada RM53.25 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama 2015, demikian menurut pejabat Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), di sini.

Lonjakan itu disokong oleh pengukuhan dolar AS dan penyusutan nilai ringgit. Menurut Pesuruhjaya Perdagangan Matrade di sini, Muhd Shahrulmiza Zakaria, bagi tempoh sama nilai import dari AS pula meningkat 2.9 peratus kepada RM40.29 bilion.

Perdagangan dua hala kumulatif pula berjumlah RM93.54 bilion, iaitu pertumbuhan 8.4 peratus berbanding tempoh sama setahun lalu, katanya kepada Bernama.

Beliau berkata kategori produk eksport utama Malaysia termasuk barangan elektronik dan elektrik yang pada masa ini meliputi 57 peratus daripada eksport keseluruhan ke AS.

Produk getah dan berasaskan getah merangkumi tujuh peratus daripada eksport, tekstil dan pakaian (3.5 peratus), minyak sawit (3.0 peratus), dan peralatan pengangkutan (1.6 peratus), katanya.

Beliau berkata ahli perniagaan Makaysia yang melawat AS teruja dengan prospek pemeteraian Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang menurut mereka akan menyediakan rangsangan kepada eksport Malaysia.

“AS adalah yang terbesar dalam kalangan negara TPP. Perjanjian pelbagai hala seperti TPP akan memberi faedah bukan sahaja kepada AS tetapi juga untuk syarikat Malaysia,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA