Eksport Malaysia ke negara anggota OIC meningkat

Eksport Malaysia ke negara anggota OIC meningkat

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) – Eksport Malaysia ke negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dijangka meningkat sebanyak lima peratus pada tahun ini, berbanding AS$19.99 bilion (RM80.7 bilion) dicatatkan tahun lepas, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan.

Pada suku pertama tahun ini, jumlah eksport ke negara-negara OIC sebanyak RM19.21 bilion, naik 12.9 peratus, berbanding tempoh sama tahun lepas.

Ahmad berkata unjuran pertumbuhan itu berdasarkan prospek ekonomi negara-negara OIC yang baik, selain Malaysia menawarkan peluang bukan sahaja dalam perdagangan dan pelaburan dalam barangan halal dan perkhidmatan tetapi juga dalam industri minyak dan gas.

“Eksport ke negara-negara OIC boleh terus berkembang dengan memasukkan produk berasaskan halal yang lain seperti kosmetik, perubatan dan perkhidmatan.

“Malaysia dan negara-negara OIC yang lain adalah negara Islam dan ini menjadikannya lebih mudah untuk menjalankan perdagangan antara satu sama lain berbanding negara-negara bukan Islam,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama duta dari negara-negara Islam, anjuran MITI dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) semalam.

Ahmad Maslan berkata duta dari Afghanistan dan Pakistan menunjukkan minat untuk bekerjasama dengan Malaysia terutamanya dalam perkhidmatan berkaitan infrastruktur minyak dan gas.

Terdahulu, dalam ucapannya, Ahmad berkata Malaysia dan negara-negara OIC perlu membina kerjasama yang lebih luas dan kukuh, selain mewujudkan lebih banyak peluang bagi manfaat bersama.

Beliau berkata tumpuan perlu diberi perhatian dengan meningkatkan jumlah perdagangan, mewujudkan kesedaran mengenai produk dan keupayaan industri Malaysia-OIC selain meneroka pasaran baharu secara bersama.

Bagaimanapun, masalah akses pasaran seperti tarif dan halangan bukan tarif, kekurangan pengiktirafan standard bersama, wujudnya lesen, kuota dan larangan eksport, kekurangan maklumat mengenai pasaran dan peluang perniagaan serta prosedur pentadbiran yang kompleks berkaitan perdagangan asing di peringkat kastam, perbankan dan pelabuhan, perlu ditangani.

Jumlah perdagangan antara OIC meningkat dan pada tahun lepas, ia naik sebanyak 9.4 peratus untuk mencecah AS$878 bilion.